KUALA LUMPUR : Polis kini menjalankan siasatan terhadap pendakwah bebas, Wan Ji Wan Hussin kerana disyaki menyebarkan fitnah dengan mendakwa dirinya dipukul semasa dalam penjara.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmad mengesahkan pihak penjara telah membuat laporan terhadap Wan Ji dan perkara itu sedang disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Beliau juga mengesahkan bahawa polis menyiasat pendakwah itu di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Wan Ji dipenjarakan pada 9 Julai selepas rayuannya terhadap sabitan menghasut gagal, di mana beliau dituduh menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mahkamah Tinggi Shah Alam juga meningkatkan hukuman penjara daripada 9 bulan kepada 12 bulan dan mengarahkan agar hukuman berkuat kuasa serta merta.

Selepas berjaya mendapatkan penangguhan hukuman, Wan Ji mendakwa dia dipukul seorang warden di penjara.

“(Dia suruh) Buka spec. Dah buka, tu bam bam, tiga kali dia bagi. Apa salah aku? (Warden) Yang lain gelak-gelak, bukan nak halang pun,” katanya.