BUKIT MERTAJAM: Makan sekotak coklat berharga RM100 untuk kuatkan tenaga batin, itu taktik pemborong barangan kosmetik di sini yang mendakwa makanan coklat yang dijual di premisnya boleh merawat penyakit kronik termasuk menguatkan tenaga batin.

Namun, ia ternyata penipuan semata-mata apabila kesemua makanan tambahan yang didakwa mampu merawat pelbagai penyakit itu dirampas penguatkuasa Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Difahamkan, pengguna yang mengambil coklat berkenaan boleh berdepan risiko pelbagai penyakit termasuk kerosakan buah pinggang.

Dalam serbuan itu, makanan tambahan kesihatan berkenaan didapati membuat dakwaan perubatan palsu pada label selain tidak memiliki alamat pengimport.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Wan Mansor Hamzah berkata, susulan itu, pihaknya merampas sejumlah 73 kotak, sembilan botol dan dua tin makanan kesihatan yang dikesan melakukan kesalahan itu.

Katanya, nilai keseluruhan produk yang dirampas adalah RM2,806 dan pihaknya juga mengeluarkan tiga notis kepada pengeluar produk serta pemilik syarikat berkenaan.

Menurutnya, antara kesalahan lain yang dikesan ialah tiada alamat pengimport selain produk membuat dakwaan perubatan seperti mampu mencegah penyakit jantung, mengubati resdung dan darah tinggi, yang tidak dibenarkan dalam undang-undang.

Beliau berkata, dalam operasi bermula pagi sehingga petang tadi, sebanyak lima premis di Jalan Baru, Perai; Perda, Seberang Perai Selatan, Bayan Lepas dan Bukit Mertajam diperiksa pihaknya.

Katanya, pihaknya merampas 800 kotak makanan kesihatan yang dianggarkan bernilai RM 25,943 selain mengeluarkan lima notis kompaun dengan kesemuanya bernilai RM15,000.

Katanya, operasi yang turut membabitkan Bahagian Penguatkuasaan Farmasi itu juga turut melakukan serbuan di beberapa premis jualan kosmetik – berita harian