Dakwaan Gabungan Selamatkan Pantai Warisan bahawa projek tambak laut Teluk Muroh, Manjung dilaksanakan tanpa mengikut prosedur dan di luar pegetahuan penduduk tempatan merupakan satu pembohongan.

Pegawai Daerah Manjung, Mohd Faris Mohd Hanif menegaskan pihaknya telah mengikut segala prosedur yang ditetapkan termasuk mengambil kira pandangan serta mendapatkan kelulusan jabatan-jabatan yang terlibat.

“Projek melibatkan kawasan sepanjang tiga kilometer di persisir pantai itu dibuat mengikut prosedur sewajarnya termasuk melakukan kajian hidrologi dan mendapatkan pandangan teknikal dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan ujian Impak Alam Sekitar.

“Kita juga telah mengadakan perjumpaan dengan penduduk kampung mengenai projek itu pada Januari 2014, jadi jika dikatakan kita tidak berjumpa dengan penduduk kampung Teluk Muroh, itu satu pembohongan,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Jumaat.

Terdahulu, Gabungan Selamatkan Pantai Warisan Teluk Muroh telah mendakwa projek berkenaan telah dibuat tanpa kebenaran serta kajian pihak berwajib.

Dalam sidang media yang dibuat pada Jumaat di Teluk Muroh itu, Gabungan itu juga menggesa kerajaan negeri mewujudkan perjanjian bertulis bagi memenuhi tuntutan penduduk Kampung Teluk Muroh berkenaan projek itu.

Pengerusi gabungan tersebut Zulkifli Hamid berkata penduduk kampung itu hanya akan menerima projek mega tersebut tanpa bantahan sekiranya perjanjian hitam putih itu dapat dilaksanakan.

“Antara tuntutan 500 penduduk kampung itu adalah agar kerajaan negeri menyediakan rumah untuk kesemua mereka.

“Penduduk juga mahu satu jeti sementara yang kondusif serta selamat selain satu jeti kekal di Pulau Marina,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis solidariti bersama sembilan NGO Alam sekitar dan gabungan tersebut di Homestay Ismail Jah dekat Pantai Muroh, Lumut.

 

Sementara itu, Pemangku Ketua Kampung Telok Muroh Tajul Ariffin Adenan yang ditemui Suara Perak memberitahu penduduk kampung sebenarnya tidak terlibat dengan gesaan yang dibuat oleh gabungan berkenaan.

Katanya, projek tambakan itu dipohon sendiri oleh penduduk kampung berkenaan pada 2013 dan perjanjian bertulis serta jeti sementara telah pun diwujudkan kerajaan negeri.

“Penduduk kampung sebelum ini telah pun bersetuju dengan projek ini jadi tidak timbul isu gesaan atau penolakkan projek ini sebenarnya.

“Jeti sementara juga telah pun disediakan oleh kerajaan negeri untuk nelayan-nelayan gunakan lebih kurang 1 kilometer daripada pantai ini,” katanya.

Kerja penambakan itu dibuat kerajaan negeri bagi membolehkan pembinaan kemudahan seperti jeti terapung, laluan bot dan stor menyimpan dapat dilaksanakan sebagai kemudahan nelayan di situ.

Pada fasa kedua pembinaan itu, dijangkakan unit-unit kediaman juga akan dibina serta disusuli fasa ketiga iaitu pembinaan kemudahan asas lain termasuk rekreasi dan riadah serta kedai bagi menjadikan ia kawasan tarikan pelancong untuk menjana ekonomi penduduk setempat.