Ahli Parlimen Tanah Merah, Ikmal Hisham Abdul Aziz, menafikan spekulasi yang mengatakan bahawa beliau antara enam anggota parlimen yang dijangka memohon kembali kepada parti Umno.

Katanya, khabar angin itu tidak betul dan tidak timbul langsung isu laporan yang mengatakan mereka akan kembali semula kepada BN.

“Buat masa ini, saya masih ahli parlimen bebas dan belum memikirkan lagi untuk menyertai mana-mana parti.

“Orang beranggapan saya akan menyertai parti Pakatan Harapan (PH)… Mana tahu saya menyertai PAS atau mewujudkan parti baru.

“Bagaimanapun, saya tidak mahu memberi komen pasal isu ini kerana tidak mahu mengguris hati sesiapa terutama pemimpin Umno kerana mereka semua adalah kawan saya,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online.

Akhbar hari ini melaporkan, enam anggota parlimen BN yang mengumumkan keluar Umno pada bulan lalu dijangka memohon kembali sebagai ahli parti itu.

Keenam-enam mereka itu dikatakan sedia kembali semula kepada Umno kerana sebelum ini menerima tekanan undang-undang berikutan tindakan saman terhadap mereka dibuat akhir bulan lalu.

Selain Ikmal Hisham, nama-nama lain yang dilaporkan adalah ahli parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid; ahli parlimen Mersing, Dr Abdul Latiff Ahmad dan ahli parlimen Tasik Gelugor, Shabudin Yahaya; ahli parlimen Larut, Hamzah Zainuddin dan ahli parlimen Sabak Bernam, Mohamad Fasiah Mohd Fakeh.

Belum ada permohonan

Sementara itu, Utusan Malaysia Onlinepula memetik Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan sebagai berkata, beliau belum menerima sebarang permohonan daripada mana-mana ahli parlimen BN yang keluar Umno bulan lalu, ingin kembali menyertai parti itu.

“Setakat ini, saya secara peribadi belum dan tidak ada menerima apa-apa permohonan pun daripada mana-mana ahli parlimen Umno yang telah keluar parti untuk menyertai semula Umno.

“Umno sentiasa membuka pintu kepada sesiapa saja yang ingin menyertai dan menjadi ahli Umno. Syarat dan proses untuk menjadi ahli adalah tertakluk kepada apa yang diperuntukkan perlembagaan dan peraturan pentadbiran parti,” katanya – malaysiakini