IPOH – Persepsi yang cuba ditimbulkan pihak-pihak tidak bertanggungjawab bahawa wujud keretakan dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak merupakan satu perkara tidak berasas, kata Ketua Penerangan Keadilan Negeri, Siti Aishah Shaik Ismail.

Menurutnya tindakan penulis kolumnis Utusan yang dikenali Awang Selamat hari ini tidak berasas dan bersifat menimbulkan persepsi tidak sihat di kalangan rakyat serta pendokong PH Perak.

Beliau berkata penulisan itu juga disifatkan sebagai andaian yang mahu menjatuhkan kredibiliti kepimpinan PH Perak khususnya Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu.

Tegasnya, Keadilan Negeri Perak menyokong kepimpinan PH Negeri Perak di bawah pentadbiran Ahmad Faizal.

“Saya memperingatkan kepada mana-mana pihak yang cuba untuk menjejaskan kerajaan yang sedia ada ini agar berfikir dua kali kerana rakyat bukan lagi mereka yang tidak bijak dalam mentafsir sesuatu perkara.

“Tidak ada mana parti politik pun yang bertindak sebagai satu gabungan tidak mempunya permasalahan tersendiri,namun jelas di Perak ia adalah perkara normal akan tetapi tidak seperti yang dimaksudkan.

“PH di Perak kini komited untuk terus bekerja bagi melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat dan serba maklum soal amanah dan tanggungjawab yang diberikan rakyat kepada mereka.

“Keseluruhan kepimpinan mahu bekerja sebaiknya dalam usaha untuk melaksanakan janji pilihan raya yang telah dibuat,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Terdahulu, tulisan Awang Selamat dalam Utusan menyatakan khabarnya Kerajaan negeri Perak kini di ambang krisis politik. Desas-desus menyatakan wakil rakyat DAP dan Amanah akan membuat undi tidak percaya kepada kepimpinan Menteri Besar, Ahmad Faizal.

Antara punca krisis dikatakan Ahmad Faizal menolak desakan DAP supaya penduduk Kampung Baru diberikan pajakan selama 999 tahun. Jika undi tidak percaya ini diteruskan mungkin pilihan raya semula terpaksa diadakan di Perak.