TAPAH– Lawatan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad ke China disifatkan sebagai satu kejayaan bukan sahaja untuk negara bahkan memberi tempias yang positif terhadap pertumbuhan ekonomi di Perak.

Menerusi maklum balas itu juga, Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu menafikan analisis akhabar dari negara China kononnya lawatan itu tidak mencapai hasil yang memuaskan.

“Sambutan yang diberikan oleh kerajaan China terhadap lawatan YAB PM amat baik, bagi pihak kerajaan negeri Perak pula saya amat gembira kerana dapat berjumpa sendiri dengan para pelabur yang telah menandatangani perjanjian dengan syarikat ‘public listed’dari Malaysia yang akan melabur di Tanjung Malim.

“Jika mereka membuka kilang di Tanjung Malim, ianya tidak akan memberi persaingan kepada vendor-vendor tempatan, apabila mereka buat kilang di Tanjung Malim ianya akan dijadikan hab untuk mereka dapat eksport barangan ke negara Asia Pasific dan menjimatkan kos pengeluaran.

“Bagi saya lawatan ke China amat berjaya dari segi negeri Perak kita bawa pelaburan begitu besar, ia akan membuka peluang pekerjaan hingga lebih 10,000 pekerjaan baru, kalau akhbar negara China mungkin tidak begitu positif terpulang kepada mereka,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita di Majlis Perasmian Pusat Khidmat DUN Chenderiang di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan rombongan lawatan itu bertujuan untuk mengeratkan hubungan serta meningkatkan dagangan antara dua buah negara.

“Walaupun ia tidak ditandatangani oleh kerajaan tetapi dengan sebuah syarikat awam di Malaysia tetapi ia akan dibuat di Perak, syarikat ini turut menandatangani perjanjian dengan pihak PKNP maka dari situ ia akan mendapat pemindahan teknologi dan pegangan saham 20 peratus dalam syarikat usahasama dengan Mobile Starhill untuk membangunkan Hab Komponen Automotif,” ujarnya.

Terdahulu, Ahmad Faizal merasmikan Pusat Khidmat DUN Chenderiang di Pusat Perniagaan Baldwin dekat sini, ia akan berfungsi sebagai pusat aduan bagi rakyat di kawasan tersebut.

Menurutnya, pusat itu juga akan beroperasi sebagai pusat pengajian agama bagi umat Islam yang akan berlangsung pada setiap hari Jumaat bermula jam 4 hingga 6 petang