SUNGAI SIPUT- Pergolakan yang berlaku di antara ahli jawatankuasa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam cabang Sungai Siput dan ketuanya sejak setahun lalu kian memuncak apabila timbul dakwaan wujud penyelewengan dalam pemilihan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ahlinya Aminuddin Mohd Shukri yang juga Ketua Penerangan Pakatan Harapan Sungai Siput tampil menyatakan ketidakpuasan hati ahli dengan tindak tanduk Mohd Heirol Zaman yang tidak telus.

Beliau yang mendakwa mewakili hampir 80 peratus ahli PKR berkata kesemua ahli membantah keputusan Mohd Heirol memilih calon luar untuk bertanding di kawasan Sungai
Siput tanpa sebarang perbincangan.

“Banyak penyelewengan dia ( Mohd Heirol) buat, dia menggunakan jawatan dia sebagai Ketua Cabang membuat keputusan tanpa merujuk kepada jawatankuasa dan suara ramai.

“Seolah-olah dia buat orang PKR ini macam mak bapak dia punya, kalau begini cara dia tiada makna kita bersama dalam apa keputusan pun.

“Kami nak buat yang perlu sebab selama dua penggal tak nampak apa-apa perubahan pun,” kata Aminuddin kepada pemberita.

Beliau ditemui di sidang media khas berkaitan isu pemilihan calon di sini, pada Jumaat, yang turut disertai ahli jawatankuasa dan penduduk Sungai Siput.

Dalam pada itu, ujarnya, ahli jawatankuasa sebulat suara memilih calon tempatan untuk diketengahkan pada PRU14.

“Kami seluruh warga Sungai Siput ini dengan satu suara ingin mengenegahkan Syed Ahmad Putra Syed Isa yang merupakan Ketua Ranting di Kampung Muhibbah sebagai calon Pakatan Harapan di Sungai Siput,”katanya.

Aminuddin yang juga merupakan merupakan mantan Ketua Pemuda PKR Sungai Siput turut menempelak sikap Mohd Heirol yang tidak telus dalam menyalurkan peruntukan untuk parti selain tidak mengambil tahu situasi semasa di Sungai Siput.

“Kami dah buat kerja, dah gantung bendera semua…muka dia pun tak nampak,cuma kerja dia nak melobi sana sini.

“Saya dapat laporan mengatakan beliau menggunakan jawatan memanggil pihak luar bertanding di sini, boleh dikatakan menjadi seorang broker politik mungkin untuk dapatkan keuntungan bagi pihaknya.

Nak letak calon mesti orang Sungai Siput, entah siapa-siapa dia letak dengarnya Raja Fairuz dari Shah Alam, kalau tanya kampung Bawong pun tak tahu macam mana nak jaga?,”tegasnya.

BERITA BERKENAAN : 1 juta peluang pekerjaan baharu melalui MyApprenticeship – PM Najib