KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Perak menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan salah laku dan penyelewengan yang telah berlaku dalam Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA), sebuah agensi milik penuh kerajaan Perak.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau telah dimaklumkan mengenai penahanan seorang bekas pegawai kanan oleh pihak SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan melebihi RM 9 juta yang berlaku sewaktu pentadbiran kerajaan terdahulu.

Beliau menegaskan, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) memandang serius dakwaan penyelewengan itu kerana ia membabitkan ketirisan jutaan ringgit dana rakyat di bawah pengurusan pentadbiran yang lalu.

Justeru itu, kata beliau, kerajaan negeri akan memberikan sepenuh kerjasama bagi membantu SPRM dalam siasatan ke atas PEKA.

“Sekiranya terdapat bukti kukuh berlakunya penyelewangan seperti didakwa, maka pihak terbabit perlu dihadapkan ke mahkamah untuk berdepan dengan tindakan undang-undang.

“Ini adalah selari dengan pendirian kerajaan negeri Pakatan Harapan yang tidak berkompromi dengan sebarang bentuk penyelewengan, salah guna kuasa, rasuah, dan ketirisan yang menyebabkan kerugian kepada dana awam,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Pavilion Perak di MISFIT 2018 di sini, hari ini.

Beliau memberi jaminan, kerajaan negeri akan terus berkerjasama dengan semua agensi penguatkuasaan di atas prinsip menghormati kedaulatan undang-undang.

Dalam pada itu, kata Ahmad Faizal, kerajaan negeri akan terus menjalankan siasatan dalaman ke atas semua syarikat berkaitan kerajaan ngeri (GLC) dan agensi kerajaan negeri.

“Sekiranya wujud unsur penyelewangan, salah guna kuasa dan rasuah, laporan akan dibuat segera kepada SPRM dan pihak Polis Di Raja Malaysia dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.