IPOH: UMNO Perak mahu siasatan terhadap dakwaan ‘syarikat dua ringgit’ mendapat tanah hutan 400 hektar disiasat secara telus.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya memandang serius pendedahan demi pendedahan berhubung pengurusan khazanah hutan di negeri ini.

Menurut beliau, pencerobohan hutan secara berleluasa dan pemberian ribuan ekar tamah hutan simpan kepada syarikat-syarikat tertentu, membuktikan ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku dalam kerajaan.

“Perkembangan ini amat menakutkan, lebih-lebih lagi ia bukan sahaja didedahkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tetapi juga oleh pemimpin PH sendiri yang tentunya mempunyai akses maklumat dalam kerajaan,” katanya dalam sidang media di Wisma UMNO Perak di sini, pada Selasa.

Beliau mengulas tindakan gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak membuat laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan dakwaan sebuah syarikat yang baru lima bulan beroperasi dan tanpa sebarang profil namun dikatakan telah diberikan tanah seluas 400 hektar.

Syarikat dua ringgit’ yang pemegang sahamnya dua orang individu bergelar Datuk, telah diberikan tanah berkenaan di dua kawasan iaitu Kledang Saiong dan Bukit Kinta untuk projek pembangunan ladang hutan dalam hutan simpan.

Saarani berkata, perkembangan itu menimbulkan persoalan, apa sudah jadi dengan janji kerajaan PH Perak untuk memelihara khazanah alam sekitar seperti yang digariskan dalam manifesto pilihan raya mereka.

Sehubungan itu, katanya, UMNO Perak menjawab beberapa persoalan yang menuntut penjelasan telus dari kerajaan.

Antara persoalan itu ialah bagaimana syarikat bermodalkan RM2 boleh mendalat tanah hutan 400 hektar, malah syarikat berkenaan tidak mempunyai pejabat operasi.

“Apa sudah jadi pemantauan dan penguatkuasaan yang sering dilaung-laungkan kerajaan negeri sehingga kawasan hutan Bukit Kledang yang terletak di tengah-tengah bandaraya Ipoh diceroboh secara terbuka?

“Adalah lagi syarikat-syarikat yang bermodalkan RM2 lain yang diberikan tanah kerajaan,” tanya Saarani.

Beliau menambah, sebelum ini, kerajaan negeri berjanji melaksanakan tender terbuka, sistem yang kononnya lebih telus serta adil dalam pemberian kawasan pembalakan.

Menurutnya, jika ini benar-benar dilaksanakan, kerajaan negeri sepatutnya tidak perlu khuatir untuk mendedahkan senarai mereka yang diberikan kawasan balak.

“Dalam keghairahan pemimpin PH yang bertungkus-lumus mencari kesalahan untuk mengaitkan kerajaan lama dengan amalan-amalan korup, kini mereka sendiri yang sedang melakukannya, malah lebih teruk lagi,” ujarnya.

Saarani berkata, ekoran laporan SPRM yang telah dibuat oleh gabungan NGO yang diketuai oleh Ahli Parlimen Kampar, Thomas Su Keong Siong, UMNO Perak juga akan berbuat demikian.