PETALING JAYA: Najib Najib memberitahu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman supaya “pakai otak sikit” berhubung dakwaan menteri belia dan sukan itu bahawa Umno yang kini berdepan masalah kewangan berjaya menjana lebih RM2 bilion dengan menjual saham atau pegangan proksinya.

Bekas perdana menteri itu berkata, Syed Saddiq mendasarkan dakwaannya kepada satu laporan dalam akhbar The Edge yang mendakwa Umno mendapat mendapat keuntungan daripada penjualan saham dalam 4 syarikat disenaraikan.

Najib bagaimanapun berkata, ia adalah laporan salah dan telah dinafikan oleh timbalan presiden Umno Mohamad Hasan sebelum ini.

“Kalau menteri ini pakai otak sikit, dia akan tahu bahawa akaun Umno sudah pun dibekukan oleh kerajaan akibat penindasan politik.

“Jika dia fikir mendalam lagi, dia akan faham bahawa RM2 bilion itu adalah satu jumlah yang besar dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentu dapat kesan jika dana itu benar-benar milik Umno,” katanya di Facebook.

Bekas presiden Umno itu juga berkata, “semua tahu” tentang kes RM2.6 bilion yang masuk ke dalam akaun beliau selama 4 bulan sebelum ia dipulangkan kepada penghantar asalnya.

Ini katanya, termasuklah pembangkang ketika itu.

“Oleh itu, mana mungkin dana RM2 bilion masuk ke akaun Umno akibat penjualan saham tidak dapat dikesan oleh kerajaan.

“Tentu kerajaan PH akan sekat lagi jika ia benar.”

Minggu lepas The Edge menyenaraikan 4 syarikat itu sebagai MyEG Service Bhd, Media Prima Bhd, KUB Malaysia Bhd dan Utusan Melayu (M) Bhd.

Menurut akhbar kewangan itu, penjualan terakhir dibuat pada 25 Julai dan memlibatkan satu bilion saham MyEG yang dijual pada harga RM1.65 sesaham berjumlah RM1.697 bilion.

Terdahulu Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, akaun bank Umno akan terus dibekukan sepanjang penyiasatan skandal 1MDB berjalan.

Pada pertengahan tahun lepas, akaun bank Umno dibekukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.i

Najib juga menyindir Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azamu berhubung dakwaan penjualan 2 ekor lembu korban Hari Raya Aidiladha melibatkan pemimpin PPBM Bahagian Bagan Datuk.

Ahli jawatankuasa PPBM Bagan Datuk, Bahaman Tokiran dilaporkan mendakwa lembu berkenaan dijual untuk membeli komputer riba dan pencetak, dan hanya seekor lembu diberikan kepada penduduk setempat untuk sambutan Hari Raya Haji tahun lepas.

“Adakah ia sudah halal untuk kerajaan PH menyalur sumbangan terus kepada parti politik?”

Beliau juga bertanya sama ada Syed Saddiq, yang juga merupakan ketua Pemuda PPBM, mempunyai jawapan berhubung perkara itu, selain berkata, menteri berkenaan “agak jahat” dan “bersedia berbohong” mengenai dakwaan RM2 bilion itu “hanya bagi mempertahankan” kes menjual lembu untuk membeli komputer riba.

-FMT