KUALA LUMPUR – Dakwaan terbaharu serangan seksual melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mengubah pendirian Perdana Menteri.

Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, janji untuk melantik Presiden PKR itu menjadi penggantinya akan ditunaikan.

Bagaimanapun, beliau tidak akan menyerahkan kuasa sebelum Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Kuala Lumpur pada November tahun depan, tetapi boleh berbuat demikian selepas itu.

“Saya berjanji menyerahkan kuasa dan saya akan kotakannya, tetapi saya rasa perubahan segera sebelum sidang APEC akan menimbulkan gangguan.

“Setakat yang saya tahu, saya berundur dan menyerahkan kuasa kepadanya. Jika rakyat tidak mahu dia, itu hal mereka, tetapi saya akan kotakan janji saya. Tidak kira apa tuduhannya. Saya sudah berjanji, saya akan kotakan janji saya,” katanya dalam wawancara bersama Reuters.

“Kita tunggu dan lihat bila tiba masanya,” kata Mahathir ketika ditanya sama ada peralihan itu berlaku pada Disember 2020.

Seperti perjanjian dalam Pakatan Harapan, Mahathir akan melantik Anwar sebagai pengganti.

Baru-baru ini, seorang lelaki, Muhammad Yusoff Rawther mendakwa diserang secara seksual oleh Anwar namun Ahli Parlimen Port Dickson itu menafikannya dan membuat laporan polis.

Muhammad Yusoff juga membuat laporan polis berkenaan dakwaan yang sama dan disoal siasat di Bukit Aman selama dua hari berturut-turut.- MalaysiaGazette