IPOH: Kerajaan negeri Perak menafikan dakwaan yang tular di laman sosial kononnya nama Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab di Ipoh telah ditukar kepada Jalan Koo Chong Kong.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, maklumat yang disebarkan mengenai pertukaran alamat Pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Perak adalah berniat jahat bagi menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama.

Menurut beliau, semakan menunjukkan pihak tidak bertanggungjawab telah memanipulasi sekeping surat rasmi daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak bertarikh 26 Februari 2019.

Beliau memaklumkan, surat tersebut bertujuan untuk memaklumkan bahawa KKM telah meluluskan permohonan Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi menukar alamat daripada Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kepada Jalan Koo Chong Kong.

“Langkah ini bertujuan mengemaskini dan menyeragamkan alamat pejabat Jabatan Kesihatan Negeri Perak bagi kemudahan orang ramai dan urusan surat menyurat.

“Ini adalah bersandarkan kepada lokasi pintu masuk utama bangunan Pejabat Kesihatan Negeri Perak dan telah disahkan oleh Jabatan Warisan, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

“Malah Bangunan Tabung Haji Negeri Perak yang terletak sebaris dengan bangunan Jabatan Kesihatan Negeri, turut menggunakan alamat Jalan Koo Chong Kong dan bukannya Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Rabu petang.

Justeru, kata beliau, kerajaan negeri menyeru semua pihak untuk berhenti menyebarkan maklumat yang tidak berasas bagi mengelakkan keresahan dan kekeliruan di kalangan masyarakat.