IPOH – Dakwaan Pakatan Harapan bahawa UMNO Tambun sedang bergaduh dan berpecah sesama sendiri hanyalah taktik ‘psychological war’ yang digunakan pembangkang untuk menyerang semangat ahli UMNO Tambun.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminudin Hanafiah menyangkal dakwaan terbabit dan menegaskan tiada sebarang masalah dalaman yang berlaku di dalam UMNO Tambun.

“Dia macam ni bila masuk ke zon perang, salah satu perkara yang selalu digunakan ialah ‘psychological warfare’ atau ‘psywar’ yang bertujuan untuk melemahkan semangat lawan.

“Tapi dari segi parti kita, ‘psywar’ sebaliknya berlaku dimana kita gunakan untuk meperkukuhkan (semangat ahli) dan UMNO bahagian Tambun ini secara umumnya kita masih kukuh,” ujar beliau ketika ditemui pada sidang media selepas melancarkan majlis Muafakat Peladang Tahun 2018 anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan Tambun di Perkarangan Kawasan Rukun Tetangga, Kampung Tengku Hussein, di Manjoi, hari ini.

Menurut Aminuddin, dua tahun kebelakangan ini mesyuarat perwakilan UMNO Tambun dihadiri 86 peratus dan tahun lalu 93 peratus merupakan jumlah kehadiran perwakilan cawangan.

“Di kedua-dua mesyuarat perwakilan itu, pemilihan wakil G7 ke mesyuarat Agung UMNO dipilih secara musyawarah.

“Jadi disitulah jika nak tengok sama ada UMNO ada masalah atau tidak, bukan hanya kerada ada beberapa ayat-ayat jahat dalam Facebook nak kata kita berbalah,” tambah beliau.

Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ulu Kinta berkata, kekuatan UMNO selama ini ialah dari segi perkhidmatan kepada masyarakat, yang telah diamalkan daripada dahulu lagi.

“Saya ingin berpesan kepada Pakatan Harapan mereka jagalah kain mereka, kami (UMNO Tambun) akan jaga kain kami. Sebenarnya kita pun tak kisah pasal Harapan dia nak letak siapa pun sebagai calon sama ada calon luar, Tun Dr Mahathir Mohammad nak datang sini, Azmin Ali nak pergi Chemor ke pergi la.

“Rakyat bukan bodoh hanya kerana nampak wajah-wajah orang yang tak pernah datang sini dan menaburkan khidmat, terus nak sokong mereka,” kata beliau.

Sementara itu, ADUN Manjoi Mohamad Ziad Mohamed Zainal Abidin berkata Pakatan Harapan menggunakan perang psikologi kerana mereka ingin menutup kelemahan mereka sendiri.

“Saya mahu mereka selesaikan masalah mereka terlebih dahulu iaitu untuk menentukan siapa calon yang akan bertanding,” kata beliau.