Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Dua orang lelaki yang dipercayai menjadi dalang dalam siri kecurian paip penyambung meter air di sekitar Simpang Pulai, dekat sini, diberkas oleh pihak polis pada petang Rabu.

Dua lelaki itu yang berusia 31 dan 33 tahun, ditahan oleh anggota dari Balai Polis Simpang Pulai dan polis bantuan Pinji Botanics Sdn Bhd yang sedang membuat rondaan pada kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superitendan Abdul Rani Alias berkata, kedua-dua lelaki itu dipercayai telah bergiat aktif melakukan jenayah tersebut sejak beberapa bulan lalu di sekitar Ipoh.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes dadah dan curi dalam bangunan. Kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

“Ketika ditahan, polis merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk melakukan kegiatan curi paip besi termasuk dua spanar besi, satu spanar pembuka paip, pemotong, ranggum, playar, pemutar skru dan plastik. Polis turut menemui 20 batang besi paip air,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Rani berkata, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Yamada Lagenda yang disyaki telah dicuri berdasarkan laporan barang hilang di Jelapang pada Jun tahun lepas.

Menurutnya, kedua-dua suspek itu direman sehingga 16 Jun dan pihak polis berhasrat untuk melanjutkan tempoh tahanan reman bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan.

“Kami masih menyoal siasat mereka agar dapat memberitahu lokasi tumpuan kegiatan mereka di sekitar Perak. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri,” katanya .