TEMPOH reman lelaki dipercayai dalang kes pembunuhan seorang lelaki di stesen minyak Taman Pelangi, dekat Johor Bahru, tahun lalu, dilanjutkan lagi tujuh hari.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim berkata, reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu disambung sehingga 18 Julai ini.

“Selain individu itu, polis turut menahan reman wanita dipercayai teman wanita lelaki itu yang ditahan bersama suspek, di Thailand. “ katanya, hari ini.

Beliau berkata, lanjutan reman itu untuk melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh

Difahamkan, suspek lelaki yang berasal dari daerah ini dipercayai mendalangi kes pembunuhan itu pada Disember lalu sebelum melarikan diri ke negara jiran.

Suspek ditahan pada 29 Mei lalu bersama teman wanitanya di wilayah Chaiyaphum, Thailand kira-kira 260 kilometer di timur laut Bangkok dan ditempatkan di Pusat Tahanan Imigresen (IDC) sementara menunggu selesai proses ekstradisi.

Mereka tiba di Johor pada 5 Julai lalu.

Dalam kejadian 17 Disember tahun lalu, mangsa berusia 44 tahun mati selepas ditikam, sebelum dilanggar dan digilis sebuah BMW oleh sekumpulan empat lelaki.

Klip video pembunuhan ngeri lelaki bernama ‘Ah Chiu’ itu tular di media sosial – hmetro