IPOH – Jabatan Imigresen menahan seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai menjadi dalang kepada sindiket pemalsuan dan pengubahsuaian pelbagai dokumen di negara ini sejak dua tahun lalu, semalam.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, hasil risikan oleh Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisa, suspek berusia 44 tahun itu telah ditahan di dalam sebuah rumah teres di Ampang, Selangor sekitar jam 10 malam.

Menurut beliau, suspek dipercayai pakar dalam melakukan pemalsuan serta pengubahsuaian pelbagai dokumen khususnya pasport Indonesia, Bangladesh dan Pakistan.

“Suspek mendapat bekalan daripada negara jiran dan barangan ini diseludup masuk secara berperingkat iaitu tiga hingga lima naskah dan dibantu rakan-rakan senegaranya.

“Selepas dokumen atau pasport itu diproses, ia akan dijual sekitar RM200 hingga RM300 di pasaran Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pasukan Khas Jabatan Imigresen Malaysia di sini pada Selasa.

Tambah beliau,  suspek juga melakukan jenayah itu dengan cara tradisional tanpa menggunakan sebarang perlatan serta teknologi yang canggih.

“Supek menjadikan rumah sewanya sebagai pusat operasi dan pelanggan boleh terus ke rumahnya bagi membuat tempahan.

“Tempoh masa yang diperlukan untuk menyiapkan satu dokumen adalah sekitar empat hingga 24 jam bergantung kepada stok bekalan yang disimpannya,” ujar beliau.

Turut ditemui dalam serbuan itu antaranya, 40 pasport Indoesia, Pakistan dan Bangladesh yang telah diubah suai, 10 pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara palsu dan 12 buah buku nikah kosong.

Kes akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 atau Akta Pasport 1996.