SEKOLAH Kebangsaan (SK) Nunuyan Laut yang terletak 27 kilometer (km) dari sini antara sekolah daif yang mendapat perhatian kerajaan menerusi peruntukan RM1 bilion disalurkan Kementerian Pendidikan kepada Sabah.

Sekolah itu yang hanya boleh dihubungi menerusi laut adalah sekolah pulau pertama di daerah ini yang dibina pada 1976.

Usianya yang mencecah lebih 30 tahun kini menempatkan 186 murid termasuk murid prasekolah dari sekitar Pulau Nunuyan dan 19 guru.

Guru Besar SK Nunuyan Laut, Mohd Busrah Nordin, berkata bangunan kayu menempatkan enam bilik darjah untuk kegunaan murid Tahun Satu sehingga Tahun Enam semakin usang dengan sebahagian besar kayu mulai reput dan struktur tiang rosak.

Katanya, keadaan itu dikhuatiri mampu membahayakan murid dan guru di sekolah berkenaan, namun kini sekolah mendapat satu blok bangunan baharu menerusi kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) yang kini dalam proses pembinaan.

Bina bangunan baharu lebih selesa

“Bangunan baharu itu nanti bakal menempatkan enam bilik darjah, enam tandas murid, dua tandas guru dan satu bangunan makmal sains sekali gus memberi keselesaan kepada murid dan guru yang bertugas di sekolah ini,” katanya.

Dalam Bajet 2018, kerajaan memperuntukkan RM1 bilion bagi menaik taraf sekolah daif di negeri ini menerusi kaedah IBS menggantikan struktur kayu sedia ada.

Program itu dijalankan dalam dua fasa menyaksikan RM500 juta dibelanjakan tahun ini di empat daerah iaitu Sandakan, Beluran, Telupid dan Kinabatangan, sementara RM500 juta lagi dibelanjakan tahun depan Mohd Busrah berkata, guru dan ibu bapa murid sekolah itu amat menghargai insiatif diambil kerajaan untuk membina bangunan baharu sekolah.

“Kami bersyukur kerana kerajaan mendengar rintihan kami yang selama ini mahukan prasarana dan fasiliti sekolah yang kondusif demi keselesaan murid dan guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah,” katanya – berita harian