IPOH – Masyarakat harus melihat DAP bukan lagi parti berasaskan perkauman sebaliknya adalah lambang demokrasi terbaik dalam landskap politik hari ini.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kemenangannya dalam pemilihan parti berkenaan semalam jelas menunjukkan DAP kini lebih tertumpu kepada suara akar umbi berbanding suara kepimpinan.

“Demokrasi dalam parti semakin subur apabila mereka semakin berani menghantar isyarat perubahan kepada barisan kepimpinan dan sekali gus menyebabkan keputusan pemilihan DAP peringkat Perak menjadi sesuatu yang sukar diramalkan.

“Selain sistem pemilihan yang bersih dan efisien, demokrasi dalam parti DAP juga dapat dijalankan secara positif apabila tiada insiden baling-baling kerusi,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, pelantikannya sebagai Naib Pengerusi DAP Perak amat mengejutkan dan di luar jangkaannya.

“Berdasarkan pemerhatian saya dalam pemilihan Jawatankuasa DAP Selangor pada tahun-tahun sebelum ini, adalah menjadi cabaran besar kepada calon Melayu dan India mendapatkan sokongan undian.

“Namun, semalam bukanlah sejarah kepada saya semata-mata, tapi juga sejarah dalam parti DAP sendiri apabila gelombang perubahan dapat dilihat daripada 890 perwakilan yang mengundi dan mengangkat calon Melayu,” katanya.

Semalam, Abdul Aziz dilantik sebagai Naib Pengerusi DAP Perak selepas menewaskan 23 calon lain dengan undi sebanyak 890 pada pemilihan jawatankuasa sempena Konvensyen DAP Perak – sinar