KUALA LUMPUR 7 Mei – Ahli seumur hidup DAP, Amran Ahmad Nor mendedahkan perancangan DAP untuk memegang jawatan Menteri Besar Perak jika gabungan pembangkang PKR berjaya memenangi negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Perancangan itu didedahkan menerusi satu emel antara beliau dan calon gabungan pembangkang PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari berhubung perkara tersebut.

Amran berkata, Abdul Aziz dalam emel itu antara lain menyatakan bahawa bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bukan lagi sosok yang PAN tonjolkan dan disebabkan itu DAP tidak selesa dan mahu tokoh parti itu ditonjolkan.

“Emel ini sekali gus menafikan kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang bahawa parti itu tidak mahu menuntut jawatan Menteri Besar Perak. Ini jelas bahawa Kit Siang menipu rakyat terutama kononnya DAP tidak menuntut jawatan itu jika menang pilihan raya.

“Abdul Aziz sendiri telah mengesahkan kepada saya perkara ini dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming setuju DAP ambil alih kerusi Menteri Besar. Ini jelas pembohongan pemimpin utama DAP sebelum PRU-14. Apabila Kit Siang tipu, DAP juga tipu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amran berkata, emel itu turut mendedahkan percakaran antara DAP dengan PKR apabila Abdul Aziz menggelarkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai penyangak, samseng dan pembuli. – UTUSAN ONLINE

BERITA BERKENAANSambutan Pengundi Buat Calon BN Di Seluruh Negara Luar Biasa – Ahmad Zahid