PAS berkata DAP tidak perlu bimbang dengan kemungkinan Malaysia akan menjadi seperti negara Taliban jika kerjasama mereka dengan Umno berjaya menang dalam PRU ke-15.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberi jaminan kerjasama dua parti itu tidak akan menyebabkan negara dilanda masalah perkauman.

“Kita tak perlu bercakap tentang apa yang tidak akan berlaku. PAS jamin yang kita mengutamakan kehidupan harmoni rakyat yang sejahtera dan muafakat.

“Tiada siapa pun yang isytihar nak perang dengan siapa-siapa dan tiada siapa yang nak polemikkan di antara kaum.

“DAP tak perlu takut. PAS pernah ada dalam kerajaan sebelum ini dalam BN (pada 1970-an). Negara harmoni tidak berlaku sebarang yang dibimbangi,” katanya ketika ditemui di Parlimen, hari ini.

Pada 9 Mac lalu, akhbar Sin Chew Daily memetik Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming yang membuat perbandingan antara PAS dan Umno dengan Taliban.

Beliau berkata ia akan memecah-belahkan rakyat berdasarkan garis kaum dan agama.

Kenyataan itu mengundang kritikan PAS dan Umno yang menyifatkan kenyataan Nga itu berniat jahat.

Semalam, Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen berkata beliau “pada tahap tertentu” setuju dengan Nga kerana menurutnya Umno dan PAS menggunakan isu agama dan kaum untuk mendapatkan sokongan.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata mana-mana pihak yang tidak setuju dengan kerjasama PAS dan Umno sepatutnya menanggapinya dengan lebih baik, bukannya dengan membuat tohmahan seperti itu.

“Cabaran politik disambut dengan cabaran politik, bukan serang-serang atau perang-perang,” katanya lagi – Malaysia kini