KUALA LUMPUR : DAP Kelantan tampil membuat laporan polis terhadap penceramah bebas, Dr Ridhuan Tee Abdullah yang didakwa membuat kenyataan berbaur perkauman dan menghina kaum Cina.

Pengerusi DAP negeri, Chua Chin Hui berkata, dalam satu rakaman video, penceramah itu telah mengeluarkan kenyataan yang boleh “menggugat” keharmonian kaum di negara ini.

“Melalui rakaman itu beliau antaranya berkata, ‘orang Cina tiada agama’, ‘agama orang Cina adalah wang’, ‘orang Cina menyifatkan (tulisan) Jawi sebagai taugeh’ dan ‘orang Cina sentiasa sindir orang Melayu’,” katanya ketika dihubungi¬†Malaysiakini¬†hari ini.

Terdahulu, Chua bersama seorang anggota jawatankuasa DAP negeri membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, Kelantan kira-kira jam 11 pagi.

Kata Chua, laporan tersebut dibuat selepas pihaknya tidak berpuas hati dengan kenyataan dikeluarkan Ridhuan itu.

“Kenyataannya itu seperti cuba memecahbelahkan perpaduan kaum di Malaysia. Jadi kita harap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan dan tindakan lanjut,” katanya.