KUALA LUMPUR – DAP kesal dengan keengganan Pas dan UMNO untuk menolak dan mengkritik kempen boikot barangan orang bukan Islam yang dikelolakan oleh kumpulan NGO yang rasis dan ekstremis agama serta dilihat sebagai cenderung pembangkang.

Malah, keengganan Pas dan UMNO untuk menolak dan mengkritik kempen boikot barangan orang bukan Islam ini bertentangan dengan pendirian Tun Dr Mahathir Mohamad yang menganggap kempen boikot ini dijalankan oleh mereka yang berfikiran cetek dan harus dihentikan agar tidak mencetuskan kemarahan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kempen boikot barangan orang bukan Islam ini tidak waras dan tidak wajar kerana ia bakal menjejaskan perpaduan rakyat dan negara.

Malah, ia akan merugikan kepentingan pengguna dalam mendapatkan harga dan mutu kualiti yang terbaik.

Guan Eng berkata, beliau sukar memahami mengapa apabila menggesa UMNO dan Pas menolak kempen boikot ini supaya menunjukkan kedua-dua parti tidak ada sikap anti bukan Melayu/bukan Islam, dia pula dilabelkan rasis oleh Pas

“Adakah keengganan Pas dan UMNO untuk menolak dan mengkritik kempen boikot ini berkait dengan kenyataan seorang ulama Pas yang menyokong kempen boikot ini?

“Bekas Timbalan Ketua Ulama PAS Selangor, Ahmad Dusuki Abdul Rani, telah menyatakan usaha memboikot barangan orang bukan Islam itu baik daripada segi agama dan “menambah pahala”, berdasarkan sebuah laporan Malaysiakini pada 30hb Ogos 2019,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambahnya, sokongan ulama Pas ke atas kempen boikot ini dengan menggunakan istilah “menambah pahala”, sekali gus menunjukkan pendirian pemimpin dan ulama parti pembangkang yang terbabit dalam permainan politik berbahaya yang berkisar pada perkauman dan ekstremisme agama.

Malangnya, pemimpin pembangkang rela memperjudikan keharmonian rakyat dan kesejahteraan negara yang dinikmati selama ini.

“DAP yakin rakyat Malaysia tidak membenci di antara satu sama lain, atau mahukan perpecahan. Agama juga tidak mengajar kita marah, boikot-memboikot dan benci semata-mata kerana berbeza kaum atau bangsa, hanya parti pembangkang.

“Oleh itu, DAP ingin menyahut seruan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menghentikan kempen boikot barangan bukan Islam/bukan bumiputera agar tidak mencetuskan kemarahan.

“DAP akan serahkan kepada rakyat untuk menentukan siapa yang benar dan batil dalam kempen boikot barangan bukan Islam/bukan bumiputera ini,” ujarnya.

 

– MalaysiaGazette