KOTA BHARU 22 Dis. – Pas menyambut baik dan amat mengalu-alukan jika DAP benar-benar mahu meninggalkan gabungan Pakatan Harapan (PH) yang membentuk kerajaan Persekutuan pada hari ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, sejak PH berjaya mengambil alih pentadbiran negara, DAP dilihat menjadi parti yang paling banyak ‘menyusahkan’ kerajaan Pusat.

Dalam masa sama tambah beliau, agenda dibawa DAP juga adalah yang paling banyak menimbulkan keresahan rakyat.

“Bagi saya, baguslah kalau DAP mahu keluar PH. Bila dia ada dalam kerajaan pun dia jadi parti paling menyusahkan. Kalau betul dia mahu keluar, rasanya lebih baik dan selepas itu terpulang kepada dia mahu bersendirian atau tidak.

“Lagipun sekarang ini, agenda yang DAP bawa paling banyak menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat negara ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mjlis Penyerahan Sumbangan Zakat Kakitangan Petronas, di sini hari ini.

Dalam catatannya di blog.limkitsiang.com kelmarin, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menegaskan partinya tidak teragak-agak untuk meninggalkan gabungan PH sekiranya objektif Malaysia baharu yang dilaungkan mereka, dipinggirkan.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, komitmen itulah yang selama ini membezakan DAP dengan MCA yang disifatkan beliau sebagai parti ‘lembik’ semasa berada dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu.

Mohd. Amar dalam pada itu menambah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy juga patut ditunjuk jalan keluar dan digantikan dengan individu lebih baik kerana turut menyusahkan kerajaan PH serta menimbulkan keresahan rakyat.

“Sebagaimana saya sebut kepada media sebelum ini, dia sebagai menteri perpaduan sepatutnya menyatupadukan rakyat pelbagai bangsa dan agama tetapi sebaliknya, dia menimbulkan keresahan dan menggugat perpaduan dengan kenyataan dibuat,” katanya. – UTUSAN ONLINE