DAP mengamalkan prinsip penguasaan terhadap parti-parti di dalam Pakatan Harapan lebih penting daripada mengejar jawatan, katanya Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tan Sri Noh Omar.

Beliau berkata perkara itu menerangkan mengapa Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak memilih untuk mengetuai Pakatan Harapan (PH) walaupun partinya itu dominan dalam pakatan tersebut.

“Kit Siang ini pandai kerana dia tahu bezakan kuasa dan jawatan, jadi dia memilih kuasa manakala jawatan dia gunakan untuk memperalatkan orang-orang kecewa, seperti Parti Amanah Negara(PAN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Sebenarnya dia (DAP) yang dominan dalam PH tapi dia tahu tanpa melayu susah untuk mereka memerintah sesebuah negeri, contohnya seperti di Selangor, Perak perlukan seorang Menteri Besar dari kalangan melayu, jadi mereka gunakan jawatan itu untuk menarik pemimpin-pemimpin melayu sertai mereka.

“Sekali lagi kita dapat melihat kepandaian DAP dalam memperalat, memperkudakan pemimpin-pemimpin melayu dalam PH demi penguasaan mereka,” katanya dalam satu sidang media di Kamunting pada Ahad.

Noh turut memberitahu PAN dan PPBM merupakan contoh terbaik bagaimana mereka diperlaratkan oleh DAP demi kuasa.

“Kita tahu PAN ini merupakan ahli-ahli PAS yang kecewa kehilangan jawatan sama juga macam PPBM iaitu orang UMNO kecewa, jadi DAP biarkan mereka masuk ke dalam PH dan biarkan mereka rebut jawatan.

“Kerana mereka (DAP) tahu sesiapa pun yang memegang jawatan nanti akan terpaksa dengar juga cakap mereka sebagai parti yang dominan,” jelas beliau.