IPOH : DAP Perak hari ini membuat laporan polis bagi menuntut pihak berkuasa menyiasat laman Facebook Pas Kawasan Bukit Gantang yang antara lain memuat naik status berkaitan isu warga Cina memiliki kad pengenalan palsu dengan memaparkan gambar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada satu MyKad yang telah diedit semalam.

Pada MyKad tersebut turut tertera perkataan ‘Joseph Lim Guan Eng’ dan ‘Baru Beli’ selain status itu disertakan gambar peta negara China dan negeri Pulau Pinang dengan logo DAP yang diterbalikkan.

Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh berkata, pihaknya memandang serius perkara tersebut kerana ia jelas merupakan satu percubaan untuk memberikan gambaran bahawa Guan Eng telah membeli MyKad dari Jabatan Pendaftaran Negara.

“Selain itu, adalah jelas tujuan status Facebook ini bukan sahaja untuk memburuk-burukkan nama Guan Eng tetapi juga parti DAP dan kerajaan Pulau Pinang yang mana Guan Eng merupakan bekas Ketua Menterinya selama 10 tahun dari tahun 2008 hingga 2018.

“Oleh itu, DAP Perak melalui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Menglembu, Steven Chaw Kam Foon merangkap Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Perak telah membuat laporan supaya pihak polis menyiasat pemilik akaun Facebook tersebut kerana ia merupakan satu kesalahan fitnah jenayah yang amat serius,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar perkarangan Balai Polis Pekan Baru di sini hari ini.

Menurut Kah Woh, kebebasan bersuara tidak bermakna ia boleh disalahgunakan oleh mana-mana pihak, justeru Pas Kawasan Bukit Gantang tidak boleh berbuat demikian bagi mencapai tujuan politik mereka.

“Oleh itu, kita memohon pihak polis menyiasat perkara ini kerana sebelum saya datang ke sini,saya telah menyemak semula status ini dan ia masih terdapat pada laman Facebook Pas Kawasan Bukit Gantang,” katanya.

Sementara itu, Kam Foon pula menyifatkan tindakan tersebut merupakan suatu yang tidak bertanggungjawab kerana ia didakwa cuba mencetuskan isu perkauman.

“Oleh itu, saya menyeru kepada rakyat Malaysia supaya tidak mudah mempercayai fitnah seperti ini yang belum dibuktikan kebenarannya,” katanya.