IPOH – DAP Perak mendakwa pindaan nama kerusi DUN Sitiawan kepada Astaka menerusi langkah persempadanan semula merupakan satu penghinaan kepada rakyat di kawasan itu yang telah wujud sejak zaman kemerdekaan.

Pengerusinya, Nga Kor Ming mendakwa, nama “Astaka” itu diambil bersempena dengan nama sebuah gelanggang bola keranjang di dalam kawasan berkenaan sedangkan Sitiawan merupakan kawasan yang kaya dengan sejarah.

“Apa logiknya nama itu? Itu nama gelanggang bola keranjang, (Suruhanjaya Pilihan Raya) sewenang-wenangnya sahaja menghapuskan sejarah bagi nama Sitiawan hanya semata-mata kerana pengundi di situ menyokong pembangkang.

“Seluruh pengundi Sitiawan perlu memastikan calon Barisan Nasional (BN) hilang deposit (pada Pilihan Raya Umum ke-14) demi mempertahankan sejarah dan maruah mereka,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Khamis.

Menurut kamus bahasa Melayu “Astaka” bermaksud balai di Istana atau royal pavillion.

Manakala Sitiawan merupakan singkatan perkataan Setia dan Kawan yang berkisar mengenai cerita sekawan gajah pada zaman dahulu kala dan terletak dalam kawasan jajahan Beruas dimana wujudnya tapak dua buah kerajaan purba iaitu Gangga Negara dan Kerajaan Melayu Beruas.

Selain pindaan nama berkenaan, beliau turut mempertikaikan pemindahan lebih 27,000 pengundi DUN itu dari kawasan Lumut kepada Beruas.

“Ini satu lagi perkara mengarut, mereka tahu Sitiawan selalu berani dan sanggup sokong Pakatan Harapan oleh kerana mungkin tak boleh menang Lumut. SPR pindahkan 27,000 pengundi ke Beruas.

“Mereka (pengundi) semua terkejut, tak masuk akal sekarang Beruas merupakan antara parlimen yang mempunyai teramai pengundi di Perak. Ini kerja tak waras,” ujarnya.

Parlimen Beruas kini disandang oleh Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang juga merupakan ADUN bagi kawasan Sitiawan.

Parlimen Lumut kini disandang oleh Laksamana Pertama (B) TLDM Mohamad Imran Abd Hamid dari parti PKR.