KUALA LUMPUR : Pembangkang mendesak kerajaan semak dan teliti DAP selepas kandungan komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama”, yang dikaitkan dengan bekas ahli parti itu, dikatakan mempromosi ideologi komunisme.

Ketua Pembangkang Ismail Sabri menggesa Kementeran Dalam Negeri segera menyiasat individu yang terlibat atau berkaitan secara langsung dengan penerbitan, pencetakan dan pengedaran komik itu, terutama daripada DAP.

“Pembangkang desak kerajaan semak dan meneliti DAP, jika dapati DAP terlibat, DAP perlu diharamkan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Ismail menarik perhatian kepada kata pengantar oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam komik itu, serta gambar di media sosial Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching bersama Hew Kuan Yau, bekas ahli yang mengaku bertanggungjawab ke atas penerbitan komik itu.

KDN semalam mewartakan perintah larangan mutlak terhadap pencetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan komik itu.

“Kandungan penerbitan ini antara lain cuba mempromosikan ideologi komunisme dan sosialisme, menyebarkan fakta yang salah dan mengelirukan tentang komunis serta mengandungi unsur untuk membangkitkan sokongan dan simpati terhadap perjuangan komunis,” katanya.

Malaysia melalui dua fasa bersenjata melawan komunis, iaitu pada Darurat 1948-1960 ketika Semenanjung masih dikenali sebagai Tanah Melayu, dan Insurgensi 1968-1989 selepas pembentukan persekutuan.