Terpanggil untuk memberi ulasan mengenai isu Jamaliah Jamaludin, calon DAP untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama di Selangor pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang bersandarkan perjuangan neneknya, Shamsiah Fakeh (Parti Komunis Malaya, PKM) sebagai idola perjuangannya atas nama rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan negara.

Dalam surat terakhir Chin Peng – setiausaha agung PKM yang meninggal dunia pada 16 September 2013 – antara lain memuatkan kenyataan berikut yang ditujukan kepada anaknya: “Saya tidak mempunyai hak untuk meminta mereka memahami, mahupun untuk memaafkan sebagai kenyataan atas mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anaknya”.

Dalam landasan yang sama dengan nada serupa, Chin Peng dan mereka dalam PKM yang melakukan pemberontakan bersenjata – pembunuhan dan keganasan tanpa mempedulikan nilai kemanusiaan dalam perjuangan idealisme, tidak sepatutnya menuntut kefahaman mahupun memohon maaf atas apa yang dilakukan pada zaman kebangkitan komunis di Malaya, khususnya pemberontakan bersenjata.

Kita tidak akan faham perasaan yang lain terhadap apa yang mereka atau keluarga mereka rasakan sewaktu kezaliman diperlakukan dalam usaha PKM mahu mengembangkan idealisme mereka.

Tindakan memaksa dan mengasak menggunakan kekerasan – membunuh dan mendera memberi impak besar kepada negara, khususnya orang Melayu.

Penerimaan orang Melayu terhadap komunis sepatutnya tidak boleh dikompromi semata-mata atas landasan politik baru.

Ketika Chin Peng sendiri mengatakan pada anak-anaknya bahawa beliau tidak mempunyai hak untuk meminta mereka memahami mahupun memaafkannya, apa pula hak kita yang ada – mendesak rakyat Malaysia yang terkesan dengan perbuatan PKM dengan pemberontakan bersenjata – apatah lagi mengiktiraf mereka sebagai pejuang kemerdekaan.

Begitu jugalah penerimaan kita, khususnya kepada calon DAP, Jamaliah – DAP, cucu kepada Shamsiah, ahli anggota Angkatan Wanita Sedar (AWAS), PKM – dengan pemberontakan bersenjata yang diangkat dan diterimanya sebagai wirawati dan pejuang kemerdekaan.

Jamaliah tidak juga mempunyai hak untuk meminta kita, khususnya orang Melayu untuk memahami, apatah lagi memaafkan apa yang dilakukan neneknya – ideologi dukungan beliau dan mungkin terus menjadi wadah perjuangannya.

Ini bukan soal rasis – Cina, bukan soal perbezaan parti dalam kerangka demokrasi DAP, ini persoalan komunisme – cara dan tindakan, pemberontakan bersenjata yang akhirnya dialas sebagai tidak ada pilihan dalam menuntut kemerdekaan.

Kekejaman dan kezaliman serta pembunuhan yang secara langsung dan tidak langsung diangkat sebagai satu perjuangan hebat.

Jangan salahkan yang lain – anggota keselamatan yang ada – bekas polis dan tentera yang sebenarnya terkesan secara langsung atau tidak langsung, bahana yang dibawa pengganas komunis pada waktu itu.

Sejarah tidak mudah dipadamkan sekiranya ia memberi kesan langsung kepada kita sebagai warganegara Malaysia yang baru melintasi 60 tahun kemerdekaan.

Kita tidak boleh kononnya atas nama Melayu liberal atau tidak liberal mendesak kefahaman mudah atau memaafkan begitu sahaja apa yang telah berlaku.

Persoalan perbezaan politik boleh kita ketepikan, tetapi dalam melihat isu komunis dan gerakan keras memaksa penerima agenda mereka atau berdepan dengan penyeksaan atau dibunuh, bukan cara yang boleh diterima.

Kita seharusnya kesal melihat DAP yang tidak langsung memikirkan penerimaan orang Melayu terhadap komunis dan ideologi komunisme yang telah memberi kesan langsung dan tidak langsung kepada rakyat negara ini.

Dengan pemilihan calon seperti Jamaliah – memperakukan bahawa PKM dan sayap AWAS yang memikul senjata dengan pemberontakan, sebagai pejuang kemerdekaan – menunjukkan ketidakfahaman mereka tentang penerimaan dan sensitiviti yang ada.

Kalau bapa kepada PKM tidak mengharapkan kefahaman, malah memaafkan apa yang dikorbankan untuk perjuangannya dan apa yang dilakukan – sungguhpun dalam konteks kekeluargaan, maka dalam nada yang serupa – dalam kerangka rakyat Malaysia yang masih belum jauh untuk melupakan, adakah kita secara logik – waras dalam kerangka politik, wajar menerima DAP yang mencalonkan cucu Shamsiah sebagai calon yang mewakili wadah politiknya?

Ini langsung tidak memperlihatkan kepada kita bahawa mereka sensitif kepada perasaan orang Melayu yang ada.

Mungkin DAP harus terus sahaja mendakwa mereka adalah parti yang bersimpati dan memperakui perjuangan PKM sebagai pejuang kemerdekaan dan dengan jelas dan tidak membohongi rakyat – mengukur penerimaan rakyat Malaysia terhadap mereka – msn