PADANG TERAP: Tindakan DAP menggunakan logo PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti kerana mahu meraih sokongan pengundi Melayu terutama di kawasan luar bandar dilihat langkah terdesak mereka dalam memperjuangkan gagasan ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan parti itu sejak sekian lama.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata DAP akan menggunakan apa saja untuk membolehkan mereka mendapat sokongan orang Melayu terutama di kawasan luar bandar terhadap perjuangan yang cuba dibawa selama ini.

“Ini bukan perkara baharu, malah sudah banyak pemimpin Melayu diperdayakan mereka demi memastikan sokongan terhadap parti itu bertambah dan ini dimulakan dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada PRU-10 pada 1999 sebelum membawa beberapa pemimpin PAS ke dalam gagasan pembangkang berkenaan.

“Kini, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad pula sudah menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menyokong gagasan DAP untuk perjuangan ‘Malaysian Malaysia’ ini, jadi saya tidak hairan jika taktik seumpama ini akan terus digunakan DAP bagi mendapatkan undi orang Melayu terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubuk Merbau, di FELDA Lubuk Merbau, di sini, hari ini.

Katanya, orang Melayu terutama masyarakat luar bandar sebenarnya sudah sedar terhadap usaha DAP ini.

“Orang kampung sebenarnya berpendidikan tinggi dan segala apa diperkatakan DAP sudah diketahui mereka.

“Saya yakin masyarakat luar bandar pandai menilai cubaan yang dilakukan DAP pada PRU-14 kali ini,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat yang tinggal di tanah rancangan seperti FELDA juga berada di landasan yang betul dengan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 ini.

“Walaupun wujud pelbagai propaganda dimainkan pembangkang di tanah rancangan untuk membenci kerajaan sehingga menimbulkan kebencian, mereka sebenarnya masih terus menyokong kerajaan dan berterima kasih dengan segala inisiatif serta usaha kerajaan memajukan peneroka FELDA,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Mahdzir berkata, dewan SMK Lubuk Merbau yang dibina dengan kos RM2.9 juta disiapkan dalam tempoh setahun dan mampu digunakan sebagai dewan komuniti bagi masyarakat di FELDA berkenaan – berita harian