KUALA LUMPUR – DAP disarankan melupakan konsep Malaysian Malaysia kerana realitinya tiada bangsa Malaysia boleh terbentuk di negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana Malaysia juga adalah negara multicultural dan akan kekal sebagai negara dengan kepelbagaian bangsa dan agama dengan bangsa Melayu serta Islam sebagai terasnya.

“Untuk merealisasikan konsep Bangsa Malaysia adalah amat mustahil sekali. Ia adalah retorik politik yang sedap diungkap untuk menjadi halwa telinga namun karakter Malaysia, seawal terbentuknya negara ini, ialah kemajmukan berbangsa, berbudaya dan beragama.

“Ini kerana setiap daripada warganegara Malaysia dibezakan dengan agama, bangsa, pengalaman politik serta bahasa
yang pelbagai,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia bermakna, kata Mohamed Khaled rakyat negara ini tidak pernah melalui proses untuk diasimilasikan sebagai sebuah bangsa kerana parti pemerintah kita sedari awal lagi memahami bahawa pemikiran, perwatakan dan citra pelbagai bangsa di
negara ini harus dikekalkan sebagai identiti tersendiri tetapi di satu dan diikat melalui rasa kepunyaan kepada watan.

Lalu apa yang terbentuk ialah kewarganegaraan Malaysia yang dicirikan sebagai rakyat Malaysia bukan pembentukan sebuah bangsa dengan nama, identiti dan budaya yang seragam.

“Tujuannya ialah kerana kita tidak mahu mencipta sebuah ‘Naratif Malaysia’ yang membutakan mata ramai rakyat terhadap kepelbagaian yang ada.

“Kita mahu keunikan berbangsa, berbudaya dan beragama diraikan, dihormati dan dilestarikan. Kita juga tidak mahu ‘Naratif Malaysia’ terang-terangan menolak budaya Melayu dan agama Islam sebagai faktor penting dalam pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara-bangsa moden,” katanya.- MalaysiaGazette