IPOH: Kerajaan negeri Perak akan memberi ganjaran kepada individu yang memberi maklumat ketirisan atau salah laku, khususnya dalam pengurusan pentadbiran kerajaan negeri sehingga kes terbukti dan dituduh di mahkamah.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ganjaran berbentuk intensif itu adalah sebagai galakkan kepada semua pihak untuk membantu kerajaan negeri menangani kes-kes berkaitan integriti dan salah laku.

Menurut beliau, ia sebagai menzahirkan komitmen kerajaan negeri untuk tidak berkompromi atas apa jua isu yang berkait dengan integriti dan akauntabiliti.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, ia bukan untuk membina satu budaya kerja tidak sihat di tempat kerja.

“Kita tak nak penjawat awam lari fokus perkhidmatan kepada pelanggan iaitu rakyat tetapi lebih menjurus kepada untuk mengintai rakan sekerja daripada melakukan kesalahan.

“Apa yang kita perlu tanamkan dan fahamkan penjawat awam adalah jika perkara-perkara itu boleh merosakkan organisasi, membinasakan negara, perkara-perjara ini perlu dihentikan dengan cara mengambil tindakan sewajarnya .

“Ini yang kita perlu tanamkan dalam setiap diri penjawat awam, bukannya masuk kerja untuk mencari kesalahan rakan sekerja, ini akan membina satu budaya kerja yg tidak sihat di tempat kerja,” katanya pada sidang media selepas merasmikan seminar pemerkasaan integriti negeri Perak di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman; Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus; Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan dan Pemangku Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Ahmad Faizal berkata, seperti amalan agensi penguatkuasaan yang lain sebelum ini, identiti pemberi maklumat juga akan dilindungi.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan negeri juga bercadang untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Anti Rasuah peringkat negeri bagi meningkatkan integriti di negeri ini.

Menurut beliau, jawatankuasa itu akan dianggotai oleh wakil daripada beberapa agensi seperti Institut Integriti Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Di samping itu, katanya, dalam usaha membudayakan integriti sejak di kecil, kerajaan negeri juga bercadang untuk menubuhkan kelab integriti di sekolah-sekolah di seluruh negeri.