BEHRANG – Seorang lelaki ditahan kerana memiliki 32 bungkus cecair dipercayai ketum ketika serbuan di sebuah rumah di Felda Sungai Behrang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, suspek berusia 21 itu ditahan pada jam 11.05 malam selepas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Muallim membuat pemeriksaan di kawasan itu.

“Pemeriksaan ke atas suspek tidak menemui barang-barang yang menyalahi undang-undang namun pemeriksaan lanjut dijalankan ke atas sebuah kotak polistirena warna putih di atas lantai berhampiran dengan suspek semasa ditahan.

“Kita dapati terdapat 32 bungkus plastik berisi cecair disyaki air ketum dan kita bertindak merampas barang tersebut menahan suspek di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal dijalankan suspek mengaku memperoleh bekalan daun ketum daripada seorang lelaki di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Behrang.

“Ujian saringan awal yang dijalankan ke atas suspek juga mendapati dia negatif dadah tetapi mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 381 Kanun Keseksaan,” katanya – sinar