BATU GAJAH: Kementerian Kesihatan meminta agar Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh, Gua Musang yang sudah terkena jangkitan kulat untuk segera tampil mendapatkan rawatan bagi memastikan jangkitan tidak merebak.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, sekiranya mereka tidak menerima rawatan segera, jangkitan kulat sukar untuk sembuh dan boleh berjangkit kepada orang lain.

“Jangkitan kulat pada kulit dalam kalangan Orang Asli di sesetengah penduduk negara ini adalah perkara yang biasa dan jangkitan mungkin berpunca daripada aspek penjagaan kebersihan, bagaimanapun jika jangkitan itu tidak dirawat ia boleh merebak.

“Kebanyakan jangkitan kulat tidak serius, rawatan tidak sukar sangat tetapi cuma mengambil masa, rawatan untuk kulat tidak sembuh serta-merta ia mengambil masa tiga bulan.

“Pesakit perlu diberi ubat makan atau sapu untuk sembuh, kebiasaannya jika tidak dirawat ia tidak sembuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan dengan Persatuan Penduduk MTD di Tokong Na Tuk Kampung Baru MTD di sini, hari ini.

Dr Boon Chye berkata, jangkitan kulat itu tidak akan terus merebak teruk pada kulit tetapi bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang lain mungkin jangkitan boleh menjadi teruk.

“Contohnya mereka yang kurang imunisasi maka ia boleh merebak pada tempat lain tetapi untuk orang yang biasa (sihat) ia tidak akan menjadi lebih teruk,” katanya.

Beliau berkata, kementerian ada menyediakan beberapa kemudahan untuk yang boleh dimanfaatkan semua penduduk khususnya masyarakat Orang Asli.

“Ketika ini, kita mempunyai sebanyak 244 fasiliti bergerak iaitu membabitkan 179 kenderaan di darat, air (33) dan udara (12) dan klinik bergerak sebanyak 12 unit,” katanya.

Sebelum ini BH Online melaporkan Jabatan Kesihatan Kelantan mengesahkan penyakit kulit yang dihidapi Orang Asli di Kampung Kuala Koh berpunca daripada jangkitan kulat.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, dilaporkan berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan penduduk kampung itu dijangkiti fungal jenis Tinea Imbricata atau Tinea Corporis.

Sebelum itu media turut melaporkan seramai 120 penduduk Orang Asli di kampung itu diserang penyakit kulit bersisik dan kudis misteri sejak tiga bulan lalu membabitkan 30 keluarga berusia antara dua hingga 30 tahun dan difahamkan jangkitan itu merebak disebabkan keengganan masyarakat Orang Asli di kawasan itu untuk menerima rawatan – Berita harian