IPOH: Pemuda Sosialis Perak (DAPSY) mendesak agar pihak kerajaan negeri dapat meneliti semula proses pemilihan serta pencalonan bagi ahli Dewan Belia Negeri Perak.

Ketuanya, Wong Kah Woh berkata, pihaknya mengharapkan agar proses pencalonan yang terbuka kepada semua belia di bawah umur 30 tahun akan bersifat lebih telus dan terbuka.

ADUN Canning itu berkata, buat masa ini sebahagian besar belia di Perak masih tidak dibekalkan dengan informasi tepat mengenai kriteria serta syarat kelayakan untuk menjadi ahli Dewan Belia yang telah bermula sejak setahun setengah lepas.

“Belia negeri Perak, ada lagi tidak mempunyai maklumat dan kaedah mencalonkan diri masing-masing, jadi mereka ini tidak pasti samada mereka layak atau tidak untuk menyertainya.

“Saranan saya, agar Dewan Belia dapat melaksanakan satu pencalonan terbuka melalui temuramah dan kem-kem demokrat seperti yang dilaksanakan di negeri lain,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Media sempena Sidang DUN pada Khamis.

Sementara itu, ADUN Pasir Pinji, Howard Lee turut meragui samada pemilihan ahli Dewan Belia dirangka mengikut kesesuaian dan berlandaskan panduan berasaskan politik

“Saya tidak menuduh, tetapi nampaknya seperti ada perancangan politik di sebalik proses pencalonan Dewan Belia ini, kami di DAPSY sebenarnya menyatakan sokongan penuh kami kepada penubuhan Dewan Belia cuma proses pemilihannya harus lebih diperbaiki pada masa akan datang,” ujarnya.

Katanya, terdapat tujuh ahli pembangkang Dewan Negeri Perak yang berumur 40 dan 35 tahun ke bawah namun mereka tidak pernah dirujuk atau terlibat dengan sebarang penggubalan dan penstrukturan Dewan Belia Perak.