PENDUDUK Minyak Beku, Batu Pahat, mengeluh dengan pencemaran bauksit apabila kawasan berkenaan dijadikan pusat pengumpulan dan pengagihan bijih itu sejak dua bulan lalu.

Beberapa penduduk Minyak Beku yang ditemui NSTP mendakwa, kewujudan tiba-tiba bauksit di kawasan berkenaan menjadi mimpi ngeri penduduk di kawasna itu berikutan masalah pencemaran di samping pergerakan lori yang mengangkut bauksit di laluan berkenaan hampir sepanjang masa.

Tinjauan NSTP di kawasan Minyak Beku mendapati laluan jalan di Kampung Minyak Beku dan terminal feri di situ yang menjadi pusat pengumpulan dan pengagihan bauksit, rosak teruk dan berlubang dengan kesan kotoran bauksit yang mencemari laluan di situ.

Lebih membimbangkan, lori mengangkut bauksit dilihat tidak mengambil langkah pencegahan dengan menutup bahagian belakang mengakibatkan debu bauksit bertebaran di kawasan kampung, malah lori itu dipandu laju sedangkan ia adalah kawasan kampung.

Penduduk, Kamarul Faizal Kamaruddin, 38, berkata, keluarganya paling terjejas apabila kediamannya hanya terletak kira-kira 10 meter dari kawasan pengumpulan bauksit.

“Pintu dan tingkap rumah kami langsung tidak dapat dibuka sejak dua bulan lalu berikutan kotoran melekat pada kelengkapan rumah.

“Walaupun pintu dan tingkap sentiasa tertutup, debu bauksit tetap melekat di dalam rumah berikutan ruang udara di atas tingkap tidak tertutup.

“Isteri saya yang kini hamil empat bulan, kerap batuk dan kami sekeluarga juga diserang kudis dan gatal badan, malah sudah tidak larat membersih rumah setiap hari, ” katanya kepada NSTP.

Sementara itu, penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Zai berkata, penduduk tidak tahu dari mana bauksit yang diangkut ke kawasan berkenaan diambil kerana kewujudannya secara tiba-tiba.

“Tengoklah lori mengangkut bauksit ini yang dipandu laju sehingga kecut perut penduduk menggunakan motosikal yang mahu menghantar dan mengambil anak dari sekolah.

“Itu belum lagi pencemaran jalan dan udara di kawasan ini. Lebih kasihan, terdapat sekolah antarabangsa bersebelahan pusat pengumpulan bauksit itu yang membuatkan guru dan kakitangan di sana bimbang dengan kesihatan murid mereka, ” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Khairuddin Abdul Rahim pula berkata, pihaknya sudah mengajukan masalah berkenaan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengambil tindakan berikutan aduan penduduk berkenaan.

“Saya juga sedang mendapatkan penjelasan Pejabat Tanah Batu Pahat mengenai perkara ini,” katanya – hmetro