IPOH – Dasar perumahan negeri Perak yang merangkumi polisi baharu mengenai pemilikan sudah diluluskan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong berkata, dasar itu digubal dengan penambahbaikan untuk memastikan semua rumah dibina berada dalam kadar mampu milik.

“Kandungan dasar itu termasuklah mengurangkan caj kepada pemaju supaya harga rumah dapat direndahkan, kita juga memasukkan polisi baru yang akan menyelesaikan masalah lain seperti bayaran kos penyelenggaraan bagi perumahan pangsapuri dan apartmen.

“Secara keseluruhannya dasar ini sudah pun siap dan diluluskan, saya bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) akan umum dalam masa terdekat,” katanya selepas Pelancaran Projek Perumahan Sehati Residence Tambun di Pusat Konvensyen Casuarina di sini, hari ini.

Menurutnya, dasar diluluskan itu terpakai dalam semua pembangunan perumahan yang baharu serta projek perumahan yang menghadapi masalah.

“Bermula tahun ini, setiap projek pembangunan perumahan diwajibkan berdaftar dengan LPHP untuk memastikan pemaju ikut garis panduan dan dasar yang diluluskan itu,” katanya.

Paul berkata, pada ketika ini pendapatan isi rumah bagi golongan pertengahan di Perak hanyalah RM3,600 berbanding RM5,228 bagi negara, menyebabkan timbul isu kemampuan dalam membeli kediaman sendiri.

“Jika ditolak kos sara hidup dan ansuran bulanan, memang warga Perak tidak akan layak mendapatkan pinjaman bank, apa yang kumpulan ini mampu adalah membeli kediaman pada harga RM100,000 ke bawah.

“Kita menyedari situasi ini sebab itulah kerajaan negeri berusaha memastikan harga rumah kekal rendah, ini juga seiring dengan matlamat kita memastikan hasrat ‘satu keluarga, satu kediaman sempurna’ dapat direalisasikan,” katanya.

Perumahan Sehati Residence Tambun dibawah Maju Perak Holdings Berhad (MHB) iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu adalah projek pembinaan 300 unit pangsapuri di atas tapak seluas 1.7 hektar di Persiaran Lembah Perpaduan, Hulu Kinta.

Berkonsepkan semi-D di Awan Biru, dua blok pangsapuri berketinggian 13 dan 14 tingkat itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, taska dan khidmat sekuriti.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MHB, Salween Ahmad Tauffik berkata, projek dijangka siap sepenuhnya pada 2021 itu bakal memberi impak nilai jualan kasar hampir RM90 juta.

“Projek perumahan ini satu usahasama MHB dengan syarikat pemaju CCP Builders Sdn Bhd, kita menyediakan harga promosi antara RM250,000 hingga RM280,000 untuk 45 pembeli terawal,” katanya – sinar harian