BAGAN DATUK: Impak permukiman daerah Bagan Datuk mungkin tidak terlihat di mata kasar bagi sesetengah pihak namun bagi Qaniah Mohd Ali, 55 ianya adalah hari yang cukup dinantikan oleh dirinya.

Ibu kepada empat anak ini berkata, dia merupakan salah seorang anak jati Bagan Datuk yang berpeluang merasai nikmat pembangunan Dataran Amanjaya Bagan Datuk yang menjadi sebahagian daripada teras dan matlamat kerajaan negeri.

Justeru, kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir untuk merasmikan kedai kek dan pastry anak kampung Sungai Nipah itu menimbulkan rasa terharu yang amat dalam dirinya.

“Saya merupakan bekas penjawat awam yang mengambil keputusan untuk bersara awal, meninggalkan kehidupan selesa saya dengan gaji bulanan tetap dan mengambil risiko untuk berniaga.

“Sebelum ini, saya hanya mampu berniaga di rumah kerana tidak mempunyai lokasi strategik dan apabila saya mendapat peluang berniaga di Kedai Desa dataran yang diilhamkan Dr Zambry, dan dia pula datang merasmikannya, memang saya berasa amat dihargai, segala pengorbanan saya seakan berbayar,” katanya ketika ditemui Suara Perak.

Qaniah, merupakan antara penduduk yang menerima lawatan Menteri Besar dalam sesi walkabout di Pekan Kecil Bagan Datuk pada hari ketiga permukiman.

Pengusaha kek dan pastri Bumiputra pertama di Bagan Datuk itu berkata, bukan mudah untuk melepaskan hidup yang serba lengkap dan beralih kepada bidang perniagaan tanpa perancangan yang rapi.

“Tapi kini, saya yakin kerana keseluruhan kawasan seperti pinggiran sungai akan berubah wajah menjadi Bagan Datuk Waterfront City, pelbagai institusi dibuka jadi pastinya pelanggan saya tidak akan bermusim.

“Mungkin ini rezeki saya berubah angin, di saat daerah Bagan Datuk pun akan berubah wajah, lebih moden, lengkap dan berfokuskan kebajikan rakyat setempat, inilah yang harapkan dalam tanah kelahiran saya ini,” ujarnya lagi.