TAIPING: Dataran Warisan Taiping yang kebiasaannya lengang, berubah wajah dengan kehadiran trak makanan (food truck) dan pelbagai pameran kesenian oleh Koloni Karyawan Amanjaya (PORT).
Berlatar belakangkan monumen bersejarah seperti Pejabat Tanah dan Daerah Taiping yang dibina pada 1829, dataran yang menjadi tumpuan beberapa keluarga dan belia itu seperti “hidup semula” dengan penataan cahaya yang berwarna-warni dan bergemerlapan.
dataran-port-2

Bagi pasangan berbulan madu, Nur Atikah Ismail, 28 dan Mohd Azri Mahat, 30 yang berasal dari Negeri Sembilan, program yang menceriakan sekitar pekan Taiping itu merupakan sesuatu yang baru bagi mereka.

“Kami berasal dari Rembau, dan program seperti trak makanan ini tiada di kawasan kami, jadi ini merupakan sesuatu yang amat mengujakan, apatah lagi sebelum kami ke sini, ramai yang mengatakan Taiping ini sunyi tanpa sebarang aktiviti pada waktu malam.

“Mungkin ini rezeki pengantin baru, sebab kebetulan program pemukiman Menteri Besar Perak sedang berlangsung, bolehlah kami tumpang sekaki,” kata Mohd Azri kepada Suara Perak.

Kerani di sebuah syarikat swasta itu berkata, selepas melihat sendiri, dia berpendapat, Taiping bukanlah bandar terbiar seperti yang didakwa.

Selepas berada dua hari di Taiping, pasangan itu mengakui berasa cukup kagum dengan limpahan monumen bersejarah di sini.

dataran-port-3
Noor Mazita Mohd Mokhtar, 39, pula berkata, dia sering ke Ipoh pada hujung minggu untuk meluangkan masa bersama tiga anaknya yang menggemari aktiviti di Dataran KTM Ipoh dan sekitar Padang Polo.

Surirumah itu berkata, ini kali pertama PORT menganjurkan aktiviti sedemikian rupa di Dataran Warisan dan ia seolah-olah satu pembaharuan kepada kawasan yang sebelum ini hanya kosong tanpa sebarang pengisian.
“Anak-anak mestilah suka, semua makanan mereka nak beli dari food truck, roti sosej, aiskrim dan macam-macam lagi, tetapi sayang kalau program ini sementara sebab kalau berterusan maka tak perlulah kami ke Ipoh,”katanya

Suaminya, Rasyidi Mohd Noor, 43 yang bekerja sebagai seorang saintis mikrobiologi pula berkata, pemukiman tersebut memberikan ruang buat pelbagai agensi, khususnya di bawah kerajaan negeri untuk turun padang dan menceriakan penduduk Taiping pada masa sama.

“Saya sendiri terlibat dalam program kayuhan basikal bersama kakitangan Hospital Taiping yang menganjurkan pelbagai aktiviti berbentuk ilmiah dan sukan.

“Lebih- lebih lagi, kami sekeluarga ni kaki makan dan kaki jalan, anjuran PORT ini tentu sahaja menarik untuk datang,” ujarnya.

Malah, katanya, dari pemerhatiannya, program itu berjaya mengumpulkan penduduk dari pelbagai lapisan umur dan bangsa.

Sementara itu, Penolong Pengurus PORT, Syed Zarul Hisyam Syed Khairuddin berkata, program yang dibawa adalah dari seluruh negeri di samping untuk menampilkan bakat anak-anak muda Perak.

“Sebanyak tujuh trak makanan, antaranya Freddo, Small Stoned Food Truck, Kamparians dan Cik Mak Ajie Legend yang menyediakan aneka makanan ringkas dibawa ke Dataran Warisan selain pameran pelukis karikatur, seni inai khat, solekan cat muka.

“Selain itu, antara yang tak putus mendapat sambutan adalah kumpulan buskers dan dari apa yang saya lihat, boleh tahan juga peminat muzik di Taiping ni berkumpul dan menyanyi bersama,” katanya lagi.