KOTA KINABALU: Ahli jawatankuasa UMNO Semporna, Datuk Abdul Hajan Gurimbang menegaskan akan menyaman individu bertanggungjawab menularkan berita palsu berikutan kemalangan tragis yang mengorbankan isteri dan anak saudaranya baru-baru ini.

Abdul Hajan berkata, laporan polis sudah dibuat di Balai Polis Semporna oleh Setiausaha UMNO Semporna, Mohd Syam Mohd Muksan, tengah hari semalam, dan menegaskan tindakan perlu diambil terhadap individu tidak bertanggungjawab itu.

“Dalam keadaan politik ketika ini, kita tidak tahu sama ada pembangkang cuba mewujudkan isu yang mengaitkan kerajaan UMNO dan BN tetapi perbuatan tidak bertanggungjawab itu merosakkan kredibiliti saya dan kedudukan kepimpinan saya dalam UMNO Semporna.

Kita tidak boleh membiarkan perkara ini tanpa tindakan kerana ia akan berterusan. Saya akan melantik peguam menyaman mereka (yang menyebarkan berita palsu). Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana membidas kenyataan palsu itu dan ucapan takziahnya, ” katanya dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Abdul Hajan memberitahu sebelum kejadian itu, isterinya Datin Rosita Ghani Abdul Shah, 53, dan anak perempuannya, Nurul Zafiral Abdul Hajan, 24, sedang dalam perjalanan ke Lahad Datu untuk melawat mentuanya.

“Anak saudara saya (Sulaiman Harianto) memandu kenderaan yang mereka naiki. Mereka juga membawa barangan perkahwinan anak perempuan saya yang sepatutnya berkahwin hari ini.

“Bagaimanapun, majlis perkahwinan ini ditangguhkan untuk membuat kenduri tahlil,”katanya sambil memberitahu anak perempuannya masih meneruskan rawatan, namun kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Pada 17 April lalu, Rosita dan Nurul Zafiral dalam perjalanan menaiki kereta Toyota Land Cruiser yang dipandu oleh Sulaiman.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah lagi kereta Toyota Hilux Vigo dan sebuah lori di Jalan Kota Kinabalu- Sandakan.

Sulaiman terbunuh di tempat kejadian, manakala Rosita meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent di Sandakan.

Berikutan kejadian itu, satu gambar kemalangan menunjukkan kereta hitam Toyota Land Cruiser bertembung dengan lori, dimuatnaik seorang pengguna laman sosial bernama Hussein Abdul Hamid di akaun Facebooknya.

Foto berkenaan turut disertakan dua gambar lain yang memaparkan sejumlah wang di dalam kotak dan seorang lelaki yang berpakaian kemeja biru serta topi dengan logo BN di atasnya.

Bagaimanapun, pada Jumaat lalu, polis mengeluarkan kenyataan bahawa tiada wang ditemui semasa kejadian di dalam kenderaan berkenaan dan mengesahkan ia sebagai berita palsu.

Sehubungan itu, dalam laporan polis yang dibuat Mohd Syam menyatakan tiga pemilik akaun-akaun Facebook yang dikenali sebagai Hussein Abdul Hamid, Sabah Viral dan Yusof Rahman mendakwa sebuah kotak wang ditemui di bahagian belakang sebuah kereta milik ahli jawatankuasa UMNO Semporna.

Mohd Syam kemudian menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan serius terhadap dakwaan itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Peter Umbuas mengesahkan laporan polis dan memberitahu siasatan sedang dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah – berita harian