Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam Perhimpunan Agung Organisasi Mempromosi Pelancongan (TPO) Bandar Raya Asia Pasifik Kelapan, baru-baru ini.

Dalam majlis di Tongyeong City, Korea Selatan, Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man dianugerahkan sebagai Pengurus Destinasi Terbaik sekaligus menyerlahkan jalinan produktif antara pelancongan Perak dan MBI.

Jurucakap MBI berkata, anugerah itu adalah susulan kepada pelbagai pengiktirafan dalam aspek tadbir urus yang sudah diterima majlis bandar raya itu sebelum ini.

“MBI sebelum ini dipilih sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Terbaik di Malaysia dan Ipoh sebagai Bandar Terbersih di Malaysia.

“Perhimpunan Agung TPO kali ini, yang bermula 18 Oktober lalu diwakili oleh Setiausaha MBI, Zakuan Zakaria bersama dua Ahli Majlis dan tiga pegawai kanan.

“Dan anugerah ini tentunya merupakan kebanggaan malah komitmen MBI kepada seluruh warga bandar raya Ipoh,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Jurucakap itu berkata, Ipoh mewakili Malaysia dalam jawatankuasa eksekutif TPO di mana ahlinya termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kota Kinabalu, Georgetown,Taiping, Kuala Lumpur dan Kota Bharu.

“TPO juga merangkumi sebanyak 81 bandar, 40 syarikat pelancongan utama Asia Pasifik yang berpengkalan di Busan, Korea Selatan,” ujarnya lagi.