IPOH- Datuk Bandar Ipoh yang baru akan memulakan tugas di Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bermula bulan ini bagi menggantikan Datuk Zamri Man, yang dikatakan menghilang tanpa berita sejak beberapa bulan lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang mengesahkan perkara itu berkata, pelantikan Datuk Bandar baru itu sekaligus dapat memastikan pengurusan MBI berjalan seperti biasa.

“Calon Datuk Bandar ini telah pun diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak, InsyaAllah pada bulan ini juga (April) Datuk Bandar Ipoh baru akan memulakan tugas.

“Jadi masalah dengan ketiadaan Datuk Bandar ini akan selesai dalam masa terdekat, beliau adalah anak tempatan dari Perak yang telah berkhidmat di merata tempat dan boleh berbahasa Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Meletakkan Batu Asas Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin, di Tapak Projek Pusat Pengajian Islam, di sini pada Ahad.

Mengulas tentang status Zamri setelah Datuk Bandar baru dilantik, Ahmad Faizal berkata perkara itu akan ditentukan oleh pihak Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Saya kira itu kita biarkan pihak SUK akan ambil tindakan, saya kira tentunya ada prosedur tertentu berkenaan masalah demikian.

“Tentunya beliau (Zamri) mengalami sedikit masalah dan sebelum kita ambil apa-apa keputusan biarlah pihak SUK menyiasat sedalam-dalamnya, dia menghilang dan kita tiada apa-apa maklumat tentangnya, itu yang menjadi masalah,” ujarnya lagi.

Semalam, media melaporkan Ipoh bakal mendapat Datuk Bandar baru setelah Datuk Zamri Man dikatakan menghilang tanpa berita sejak beberapa bulan lalu.

Zamri dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh pada 2015 bagi menggantikan Datuk Harun Rawi dan difahamkan kali terakhir dilihat adalah pada acara berbasikal, Ogos 2018 di Dataran Majlis Bandaraya Ipoh.