IPOH: Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man sendiri turun padang selama dua hari pada 7 dan 8 November untuk mengatasi isu iklan haram di Bandaraya Ipoh.

Pendekatan turun padang itu sentiasa menjadi amalan beliau serta pegawai Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk mengatasi permasalahan wargakota Ipoh.

Hasil pemerhatiannya di sekitar kawasan Kledang dan Bercham, didapati terdapat banyak iklan haram dipasang pada tiang-tiang lampu, pokok-pokok dan harta-harta awam milik MBI.

Berdasarkan pemantauan itu, hampir 2,000 iklan Ah Long telah ditanggalkan pada kedua-dua hari tersebut oleh anggota penguatkuasa.

Menurut Zamri, pembersihan iklan haram berkenaan sentiasa dijalankan secara berkala oleh 15 anggota penguatkuasa daripada Unit Iklan, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, MBI.

“Tindakan tegas akan diambil dibawah Undang-Undang Kecil Iklan MBI 2013 kepada mana-mana pihak atau individu yang menampal iklan haram yang akan mengotorkan pemandangan Bandaraya Ipoh,” katanya di sini.

85907aa8-e8cc-4a59-b666-45564e89c360

Beliau memberitahu, di bawah undang-undang kecil itu, mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan kompaun maksimum RM250 untuk setiap kesalahan.

Untuk makluman, MBI telah membersih dan menurunkan sejumlah 84,645 unit iklan haram di sekitar Bandaraya Ipoh bagi tempoh sembilan pertama tahun ini di mana sebahagian besar, iaitu 66,911 adalah iklan peminjam wang haram.

Sejumlah 1,468 kompaun yang bernilai RM274,215 telah dikeluarkan kepada orang awam yang telah melakukan kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Iklan tersebut.

Zamri meminta kerjasama wargakota Ipoh membantu MBI untuk mengekalkan status Ipoh sebagai Bandaraya Terbersih di Malaysia dengan cara membantu menanggalkan iklan haram di hadapan kediaman masing-masing.

Katanya, mereka juga boleh menegah pemasang iklan haram serta memberi maklumat berkaitan pemasang iklan haram serta butir-butir kenderaan yang digunakan supaya tindakan lanjut boleh diambil oleh pihak MBI.

Wargakota boleh menghubungi talian hotline MBI 05-2551515, whatapps MBI di talian 019-5503083 atau melalui email di alamat, aduan@mbi.gov.my sekiranya mendapati ada pihak atau individu yang masih menampal iklan haram disekitar kediaman masing-masing.