IPOH: Aktiviti kumpulan Kongsi Gelap 04 yang merupakan dalang kepada kes-kes jenayah terancang di negara ini akhirnya tumpas dengan penangkapan seorang lelaki yang merupakan ‘CEO’ kumpulan terbabit.

Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata individu yang mendapat jolokan ‘Datuk’ oleh ahli kumpulan berjaya dikesan setelah sekian lama diburu polis.

Menurutnya penangkapan individu itu merupakan salah satu kejayaan polis dalam menumpaskan kegiatan kumpulan itu yang bertanggungjawab ke atas kes jenayah serius  melibatkan bunuh, peras ugut, pengedaran dadah malah khianat dengan api sejak beberapa tahun lepas.

Menurut beliau, kesemua 36 ahli kumpulan juga berjaya ditangkap polis berperingkat peringkat dalam tempoh setahun sejak 2017.

Kata beliau penahanan Datuk itu berjaya menyelesaikan dua kes pembunuhan termasuk seorang yang bergelar Datin Seri di hadapan sebuah restoran di Backfield, Kuala Lumpur pada 6 Julai 2016.

“Kes kedua membabitkan pembunuhan di Hutan Melintang pada 27 November 2016 dan mereka juga aktif melakukan jenayah termasuk melepaskan tembakan.

“Kesemua tangkapan dibuat pada 27 Januari lalu di Perak, Selangor, Melaka dan Johor dan 10 suspek dalam penjara di Taiping, Batu Gajah, Pokok Sena, Kedah dan Sungai Udang, Melaka menerusi Ops Cantas Silver 1/2018,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Bilik Mesyuarat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri di sini, hari ini.

Hasnan berkata, kesemua mereka direman selama 28 hari dibawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012- SOSMA.

“Mereka akan disiasat dibawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram Pencegahan Pembiayaan Keganasan iaitu Perolehan Hasil Aktviti Haram 2001.

“Kesemua suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Ipoh esok (Selasa) dibawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan iaitu menjadi ahli sesuatu kumpulan jenayah terancang,”katanya lagi.

Menurut Hasnan, pihak polis turut menyita pelbagai barangan berharga termasuk hartanah, kereta mewah dan barang kemas yang keseluruhannya dianggarkan bernilai dalam RM4.544 juta.

“Buat masa ini, tindakan susulan akan diteruskan oleh pihak polis bagi mengesan saki baki ahli yang masih bebas. Mereka telah disenarai hitamkan sebagai orang dikehendaki.

“Bantuan Interpol dipohon untuk mengesan suspek yang melarikan diri ke luar negara,” ujarnya.