KUALA LUMPUR: Seorang pengerusi yang juga ketua pegawai eksekutif (CEO) dua koperasi berpusat di Selangor bergelar Datuk, ditahan polis kerana disyaki mendalangi penipuan dengan menjadikan kontraktor sebagai mangsa, secara menawarkan pembinaan rumah mampu milik yang tidak wujud.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, berkata lelaki berusia 52 tahun itu ditahan susulan 16 laporan yang diterima, membabitkan dua koperasi yang berpusat di Subang Jaya itu, dengan kerugian dianggarkan lebih RM13 juta.

“Sejak 2014 hingga tahun lalu, kami menerima laporan membabitkan kegiatan koperasi terbabit, sebelum menjalankan siasatan terhadap lelaki berkenaan yang didakwa menjalankan kegiatan penipuan dengan menawarkan pembinaan rumah mampu milik tetapi projek itu sebenarnya tidak wujud.

“Berdasarkan laporan yang diterima, polis membuka 11 kertas siasatan berhubung kes berkenaan sebelum suspek ditahan pada 7 Februari lalu.

“Dia kini masih dalam tahanan reman untuk siasatan lanjut dan kami tidak menolak kemungkinan beberapa individu lain akan ditahan dalam masa terdekat bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Amar Singh berkata, modus operandi suspek adalah menawarkan lantikan sebagai kontraktor kepada syarikat (mangsa) yang berminat membina rumah mampu milik di seluruh negara.

Katanya, bagi koperasi pertama, suspek menawarkan projek pembinaan kediaman itu di Kedah, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Johor, manakala koperasi kedua pula menawarkan projek di Melaka, Kedah dan Perak.

“Suspek mendakwa dilantik sebagai ejen kepada kedua-dua koperasi berkenaan untuk mendapatkan kontraktor yang berminat bagi projek perumahan mampu milik di seluruh negara.

“Bagi meyakinkan mangsa, suspek membawa kontraktor yang berminat, melawat tapak atau lokasi pembinaan yang sudah dikenal pasti, selain mengemukakan beberapa dokumen menunjukkan seolah-olah projek itu wujud serta mendapat kelulusan pihak berkuasa.

“Mangsa atau kontraktor yang terpedaya, masing-masing diminta oleh suspek membayar bon pelaksanaan di antara RM300,000 hingga RM2.3 juta, atas nama koperasi berkenaan.

“Selepas bayaran bon dibuat, mangsa diminta menandatangani perjanjian usaha sama yang disediakan koperasi terbabit dan dijanjikan kerja pembinaan akan bermula dalam tempoh 18 bulan selepas dokumen itu ditandatangani,” katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak mendapat arahan memulakan kerja meskipun selepas tempoh 18 bulan berkenaan berlalu.

Katanya, bagaimanapun, selepas membuat semakan, mangsa mendapati projek yang dijanjikan itu sebenarnya tidak wujud dan tidak pernah diberikan kepada koperasi berkenaan.

“Suspek akan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan menipu sebaik siasatan yang berjalan, dilengkapkan,” katanya – berita harian