TELUK INTAN: Seorang datuk dan cucunya maut apabila dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika melintas jalan di KM3.5 Jalan Bahagia-Kampung Gajah, dekat sini malam tadi.

Dalam kejadian sekitar 8.30 malam itu, S. Krishnan, 64, dan cucu lelakinya, S. Ugeendrann, 11, dirempuh ketika dua beranak itu sedang melintas jalan.

Kedua-dua mereka mengalami cedera parah dan maut di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal pihaknya mendapati kenderaan jenis Toyota Hilux sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Gajah menghala ke Changkat Jong.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan tersebut dipercayai telah melanggar dua pejalan kaki iaitu warga emas dan cucunya yang sedang melintas dari kanan ke bahu jalan.

“Akibat rempuhan berkenaan, kedua-dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Menurut beliau, bedah siasat telah dijalankan di Hospital Teluk Intan bagi mengetahui punca kematian.
Mohd Marzukhi berkata pemandu Toyota Hilux tersebut telah direman pagi tadi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.