ALOR SETAR – Seramai 200 tetamu termasuk 95 penerima pingat yang hadir pada majlis penyampaian Penganugerahan Ahli Kehormat Pi­ngat Setia Raja dan Negara (PSRN) disyaki palsu di sebuah hotel di sini dikejutkan dengan kehadiran polis yang menyerbu hotel tersebut kelmarin.

Dalam serbuan pada pukul 1.30 petang itu, seorang lelaki berusia 55 tahun yang mendakwa dirinya bergelar Datuk selaku penganjur majlis berkenaan ditahan.

Majlis itu turut dihadiri seorang kenamaan dari sebuah negeri di utara Semenanjung untuk menyampaikan pingat tersebut kepada penerima.

Bagaimanapun, semua tetamu dan pe­nerima pingat dibebaskan setelah keterangan mereka direkodkan polis.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya menerima maklumat mengenai majlis tersebut yang mengaitkan nama kerabat diraja sebuah negeri.

Menurutnya, pihak penganjur menggunakan nama Persatuan Pasukan Keselamatan Rakyat Setia Berjasa Sukarela Negeri Perak untuk penyampaian anugerah berkenaan.

“Kebanyakan penerima anugerah pingat tersebut merupakan ahli perniagaan dan pesara kerajaan dari beberapa buah negeri.

“Difahamkan setiap penerima membayar RM5,000 untuk mendapatkan anugerah pingat tersebut yang sama dengan pingat yang dikeluarkan dari sebuah istana di negara ini,” katanya di sini semalam.

-Kosmo!