IPOH: Datuk Dr Mah Hang Soon yang merupakan Pengerusi MCA Perak dipilih sebagai calon Parlimen Tanjung Malim P77 menggantikan Menteri Perdagangan Industri dan Antarabangsa II, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang juga Setiausaha Agung MCA.

Penyandang kerusi DUN Chenderiang itu ketika ditemui selepas pencalonannya di Kediaman Menteri Besar Perak berkata cabaran yang dikemudi oleh beliau dalam PRU14 kali ini bermakna dia memikul amanah yang lebih besar dalam memastikan kemenangan BN di peringkat Parlimen.

“Sudah pasti sebagai seorang calon Parlimen, saya akan memikul tangggungjawab lebih besar daripada DUN, justeru bagi pandangan saya yang paling penting adalah cara mendekati dan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, memastikan keseluruhan kawasan difahami dan diselami, meneruskan amalan yang telah dipraktikkan oleh BN Perak iaitu turun padang,”katanya ketika ditemui Suara Perak di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai penampilan muka-muka baharu dan dicalonkan buat kali pertama pada PRU14 oleh BN Perak pada kali ini, Hang Soon berkata beliau yakin ianya merupakan satu usaha murni dan sahutan cabaran untuk bekerjasama dan mengiktiraf suara muda dalam memenangi kerusi DUN.

“Kita tampilkan muka muda dan baru ini, adalah sebagai pendekatan kita untuk memastikan kesinambungan pada waktu yang sama bekerja dengan mereka yang berpengalaman di bidang politik, sinergi junior-senior ini pastinya merupakan satu strategi terbaik untuk menembusi masyarakat di pelbagai lapisan.

“Malah, saya yakin dengan kepercayaan yang kita berikan kepada mereka, membuktikan bahawa sebelum ini kesemua program dan aktviiti merupaka ilham dan idea daripada kesemua pihak, dan daripada sini, calon itu dipilih berdasarkan kredibiliti, potensi dan keupayaan mereka untuk memberikan yang terbaik buat penggal kali ini,”jelasnya lagi.

BERITA BERKENAAN : Pujuk Ahli Kecewa Yang Tidak Terpilih – Ahmad Zahid