PETALING JAYA: Bekas pengarah syarikat pelaburan emas bergelar Datuk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas pertuduhan menerima deposit haram daripada dua pelabur berjumlah lebih RM500,000, empat tahun lalu.

Tertuduh, Datuk Yap Yee Hoo, 62, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mabel S Muttiah.

Yee Hoo yang memakai kemeja putih dilihat tenang di dalam kandang tertuduh itu berkata: “Faham.. tidak mengaku salah.”

Turut berada di galeri awam, anak perempuan tertuduh sebagai penjamin lelaki itu.

Mengikut dua pertuduhan, Yee Hoo didakwa menerima deposit daripada Tan Cheng Tat, 51, peguam dan Mastura Abdul Muthalib, 53, ahli perniagaan, masing-masing berjumlah RM446,700 dan RM70,000 tanpa lesen yang sah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di alamat Level 1-2, Wisma BU8, nombor 11, Lebuh Bandar Utama, di sini, di antara Julai dan November 2014.

Dakwaan kedua-dua kes terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (Akta 758) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 137(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM50 juta atau kedua-duanya, jika disabit kesalahan.

Yee Hoo turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang membabitkan jumlah RM666,700.

Dia didakwa menyalahgunakan jongkong emas milik Mastura bernilai RM220,000 untuk tujuan pelaburan di syarikat Royal Gold Sdn Bhd di nombor 111 & 112, Blok F, Phileo Damansara, Damansara 1, Nombor 9, Jalan 16/11 Off Jalan Damansara, di sini, pada 15 April 2014.

Dia sebagai pengarah syarikat Royal Gold Sdn Bhd juga didakwa secara tidak jujur menyalahgunakan wang pelanggan syarikat berjumlah RM446,700 untuk kegunaan lain di Public Bank cawangan Taipan, Subang Jaya, di antara Julai dan November 2014.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM75,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Mac ini sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa RayaAbu Arsalnaa Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N Sivananthan – berita harian