SHAH ALAM – Sindiket mesin judi tidak pernah berkubur, malah dilihat bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Kerakusan dalam mencari pulangan yang lumayan tanpa menghiraukan tindakan undang-undang menyebabkan munculnya tauke-tauke baharu yang cuba berjinak-jinak dengan membuka bisnes mesin judi.

Sejak tahun 1990an, sindiket mesin judi terus berkembang dan kini sindiket-sindiket perjudian itu memilih nama-nama popular untuk penjenamaan empayar mereka.

Tauke-tauke judi yang ada dalam kalangan mereka bergelar ‘Datuk’ didakwa sedang bermaharajalela di hampir pelusuk negeri Selangor.

Difahamkan, Kajang, Petaling Jaya, Gombak dan Klang menjadi daerah tegar dikaitkan dengan kewujudan sindiket mesin judi.

Satu sumber memberitahu, fenomena tidak sihat itu kini melebarkan sayap ke daerah terpencil di Kuala Langat.

Sejak 10 tahun lalu, Kuala Langat lokasi terletaknya makam-makam kerabat Kesultanan Selangor di Jugra dibersihkan daripada aktiviti perjudian.

Namun begitu, memasuki sahaja 2017, tauke-tauke judi kini berlumba-lumba mencari peluang melebarkan bisnes perjudian mereka sehingga ke daerah ini.

“Dalam tempoh dua bulan lalu, Kuala Langat memiliki sekurang-kurangnya 50 premis mesin judi yang antaranya terletak di Banting, Jenjarom, Tanjung Sepat dan Teluk Panglima Garang.

“Lebih menarik empayar mesin judi tersebut hanya dikuasai oleh logo 4G dan taukenya dikenali sebagai ‘Panjang’ yang bergelar Datuk,” katanya.

Jelas sumber itu, sambutan menggalakkan terhadap mesin judi menyebabkan beberapa tauke judi lain berusaha membuka premis sama di kawasan tersebut.

“Namun begitu sehingga kini ‘Datuk Panjang’ disifatkan oleh pesaingnya sebagai tauke judi paling hebat kerana berjaya memulakan aktiviti perjudian di daerah yang dianggap suci bagi kerabat Diraja Selangor,” dakwanya.

Selain Kuala Langat, Datuk ini juga didakwa mempunyai bisnes sama di sekitar Klang, Shah Alam dan Petaling Jaya.

Dakwa sumber itu lagi, kemasukan mesin judi dibawa Datuk Panjang ini di Kuala Langat didakwa ada kaitan dengan pihak tertentu.

“Pengoperasian premis mesin judi dilakukan secara terbuka dan kekebalan aktiviti itu secara tidak langsung seolah-olah mempunyai `pakatan’ dengan pihak yang mempunyai kuasa dalam membanteras kegiatan judi itu,” katanya.

-SinarHarian