SHAH ALAM: Dua lelaki bergelar Datuk Seri dan dan Datuk antara 36 individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan menjadi ahli Geng 08 sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh berusia antara 20 hingga 50-an ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan terancang Geng 08 di daerah Petaling bermula 1 Januari 2015 hingga 29 Mac 2018.

Berikutan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias dan beliau memohon mahkamah untuk tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan tertuduh ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah- Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Sabri menetapkan 28 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula.

Dalam prosiding pagi tadi, semua tertuduh dikawal ketat selain tiada kebenaran untuk pihak media mengikuti prosiding itu.

Difahamkan, semua mereka kini ditempatkan di Penjara Sungai Buloh – berita harian